Contents

MPU2183 Pembelajaran 4 - 6

Pembelajaran 4: Konsep Etika dan Peradaban

Topik Minggu Ini

  1. Konsep peradaban:  
  2. Kolonialisme agama dan kepercayaan.
  3. Timur dan Barat.
  4. Perspektif agama dan kepercayaan (Peradaban)

Kolonialisme Agama dan Kepercayaan

Kolonialisme adalah sebuah istilah terhadap sistem yang merujuk kepada pengembangan kekuasaan sebuah negara ke atas wilayah dan manusia serta masyarakat di luar batas negaranya.

Pihak atau kuasa yang mengamalkan konsep kolonialisme dalam mengembangkan empayarnya akan mencari dominasi ekonomi dari sumber daya kerja, tenaga kerja, dan nilai perdagangan dan pasaran wilayah tersebut selain dari faktor muka bumi dan kekayaan sumber asli dan bahan mentah.

Istilah ini juga merujuk kepada suatu himpunan keyakinan yang digunakan untuk melegitimasikan atau mempromosikan sistem ini, terutama kepercayaan bahawa moral dan etika dari pihak pengkoloni lebih hebat daripada pihak yang dikoloni.

/posts/mpu2183_4-6/1.jpg

Konsep Etika dan Peradaban Timur dan Barat

Terdapat dua bentuk peradaban di dunia iaitu peradaban Timur dan peradaban Barat. Pembahagian masyarakat dunia kepada dua kumpulan peradaban yang besar ini membawa erti yang tersendiri dan berbeza untuk setiap masyarakatnya.

Peradaban timur merujuk kepada masyarakat dari tamadun peribumi, tamadun Islam, tamadun Jepun, tamadun China dan tamadun India (iaitu masyarakat Islam dan Asia).

Peradaban Barat pula merujuk kepada masyarakat bukan Asia yang dikenali sebagai masyarakat Barat yang turut merangkumi Amarika Syarikat dan Eropah.

Setiap peradaban ini mempunyai sifat-sifat, pencapaian-pencapaian serta keunikan yang tersendiri. Namun begitu ini tidak bermakna sesebuah peradaban itu tertutup dan tidak menerima pengaruh dari luar sebaliknya terdapat interaksi yang berlaku antara peradaban ini.

Islam vs Barat

Bermula selepas kekalahan Kristian ditangan pejuang Islam pimpinan Salahuddin al-Ayubi dalam perang Salib (1096-1396). 

Pertembungan peradaban antara Islam dan Barat yang membawa peristiwa yang besar adalah Mustafa Kamal Attartuk yang didokong oleh Yahudi dan Kristian menjatuhkan kerajaan Islam Turki Othmaniah di Turki pada tahun 1924 adalah sejarah hitam yang tidak mungkin dilupakan oleh umat Islam.

India dan Cina vs Barat 

Masyarakat Timur lain seperti masyarakat India dan Cina juga mengalami keterhakisan nilai etika dan peradaban. Globalisasi yang ditaja oleh peradaban Barat.  Secara jelas pada dua dekad terakhir abad kedua puluh kesan daripada revolusi teknologi maklumat. Globalisasi membawa maksud pensejagatan nilai-nilai kehidupan Barat mendokong liberalisme, kapitalisme dan demokrasi mengikut acuan mereka sendiri. 

Kesan pertembungan ini sangat mendalam sehingga hampir menghilangkan sama sekali ciri-ciri pengenalan diri atau identiti seorang Cina mahupun India. Bukan setakat dinegara ini, malah keseluruhan dunia pada hari ini seolah-olah seperti ‘seperti dunia Barat yang besar’ (the Great Western World), yang tidak langsung memperlihatkan identiti pelbagai budaya (cultural diversity) sebaliknya hanya peradaban Barat sahaja yang bermaharajalela. Kebebasan yang sepatutnya wujud pada sesebuah masyarakat atau negara dalam menentukan haluan kehidupan pada masa depan mereka sendiri telah dikongkong oleh pelbagai bentuk dominasi yang baru. Dominasi baru Barat ke atas masyarakat bukan Timur dapat dilihat dari aspek politik, ekonomi dan sosial (media dan budaya).

Perspektif Agama dan Kepercayaan (Peradaban)

Konsep Peradaban daripada perspektif agama dan kepercayaan

  1. Melayu Islam
  • Alam Melayu diwarnai Kaum Tua 

    • Kaum tua boleh didefinasikan sebagai ulama-ulama tradisional yang berpegang kepada tradisi konservatif atau mempertahankan yang lama. Sesuai dengan pengertian konservatif, ulama-ulama ini sebagaimana biasanya cuma melihat sejarah atau masa lampau sebagai sumber inspirasi atau sesuatu yang harus dipertahankan. Di dalam banyak perkara, mereka lebih suka mengekalkan status quo sesuatu amalan yang telah lama bertapak di dalam masyarakat.

    • Pendokong kaum tua ini dilihat seringkali bersikap negatif terhadap pembaharuan dan perubahan. Golongan tradisionalis ini seringkali menganggap bahawa kemunduran umat Islam adalah kerana mereka menjauhkan diri daripada ajaran-ajaran generasi yang lalu. Mereka lebih suka mempertahankan seluruh tradisi yang telah diwarisi oleh nenek moyang tanpa membezakan ajaran Islam yang tulen atau campuran dari pelbagai pengaruh yang lain.

  • Pengaruh Mesir dan Turki mendorong pergerakan Kaum Muda terutama di Penang, Singapura, Sumatera Barat bermula tahun 1930

    • Kaum muda merupakan golongan pembaharuan yang dipengaruhi oleh gerakan Islah di Mesir, Arab Saudi dan India. Mereka banyak membuat pembaharuan dan merungkai masalah dalam pendidikan, politik, sosial dan ekonomi Kaum muda dilihat sebagai pencetus kepada kemerdekaan Tanah Melayu tetapi mereka tidak diwar-warkan sebagai pejuang kemerdekaan negara. Mereka sangat aktif didalam penulisan, jurnal buku, kertas kerja dan tesis untuk diterbitkan di Malaysia dan Sumatera. Kaum muda banyak mengkritik fahaman kaum tua yang mengekalkan amalan bidaah dan menokok tambah di dalam agama. 
  • Kebangkitan Islam dari pelajar Malaysia di UK dan USA bermula tahun 1970

    • Bermula apabila kerajaan menghantar ramai pelajar Melayu ke luar negara pada tahun 1971, terbentuknya kumpulan Pengajian Islam Malaysia (MISG), sebuah organisasi yang berpusat di London yang bergabung dengan Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Pelajar Islam (FOSIS). Tetapi pada tahun-tahun awal itu, MISG tidak dianggap sebagai gerakan dakwah sepenuhnya. Kegiatan-kegiatannya dijalankan terutama sekali di bawah naungan FOSIS yang bertujuan menambahkan kesedaran pelajar-pelajar Islam terhadap dunia Islam. Oleh sebab FOSIS dikuasai oleh pelajar-pelajar Arab dan Asia Selatan, biasanya perbincangan-perbincangan yang diadakan dalam perhimpunan memberi tumpuan kepada konflik Arab-Israel serta isu Pakistan dan Bangladesh.
  • Revolusi Iran dan Pergerakan Agama  yang berakar umbi di Tanah Melayu

    • Revolusi Iran yang berlaku pada tahun 1979 banyak mempengaruhi pemikiran gerakan Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri. Gerakan ini dipanggil sebagai gerakan Islah. Kritikan gerakan Islah terhadap penjajahan British bukanlah menentang atau mengkritik sains Barat. Sains Barat dianggap sebagai cara memajukan orang Melayu Islam dan cuba diformulasikan berlandaskan kehendak Islam. Wacana atau respons gerakan ini pada ketika itu lebih berkisar kepada isu kemajuan masyarakat Melayu Islam. Namun begitu, kebangkitan Islam bermula dekad 1970an di dalam konteks wacana 33 pengislaman ilmu lebih menjurus kepada pendekatan yang kritikal terhadap Barat, termasuklah kritikan terhadap sains Barat. Revolusi Iran dan kesedaran baru di dalam masyarakat Islam yang timbul, serta usaha-usaha baru ke arah modenisasi selepas zaman kemerdekaan mewujudkan satu bentuk respons baru. Bermula selepas rusuhan kaum di Malaysia pada tahun 1969, dan kemudian penubuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diilhamkan oleh Tun Abdul Razak Dato’ Hussein telah melahirkan lebih ramai golongan kelas pertengahan di dalam masyarakat Melayu. Respons baru timbul daripada golongan ini, sebagai respons terhadap usaha-usaha memodenkan masyarakat Islam dan juga negara, yang aktif diperjuangkan seterusnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Proses modenisasi dan kemajuan yang berlaku di Malaysia merupakan latar belakang untuk menjelaskan kenapa wujudnya satu bentuk respons terhadap modenisasi yang digerakkan oleh sarjana-sarjana Islam di Malaysia pada zaman selepas merdeka. Gerakan-gerakan Islah yang wujud adalah seperti  pertubuhan ABIM, Al Arqam, Jemaah Islam-Kaum Tua, Jemaah Islam Malaysia danTabligh-India.
  1. Buddhisme Kecinaan
  • Kebanyakan masyarakat Cina di Malaysia menganut agama Buddha yang kemudiannya dipanggil sebagai Budhisme Kecinaan. Ini kerana orang Cina tidak boleh dipisahkan daripada adat resam nenek moyang mereka selain daripada agama Buddha. Mereka lebih suka menerima, malah mentafsir semula adat orang Cina sebagai suatu yang bukan bersifat agama, tetapi sebagai tradisi etnik dan simbol untuk peoplehood untuk membolehkan ritual dan perayaan tradisional orang Cina diterima dan diamalkan. Sebahagian daripada mereka juga ada yang menganut agama Kristian dan Islam. 
  1. Hindu-Tamil Nadu
  • Semenjak awal kemunculan peradaban Melayu lagi elemen agama Hindu mempengaruhi aspek seperti tulisan, bahasa, budaya, politik, sosial, kesenian dan kesusasteraan. Asimilasi budaya Hindu meresap masuk dalam kebudayaan masyarakat seperti mandi bunga dan adat persandingan. 

  • Semasa era penjajahan, agama Hindu dibawa oleh orang India Tamil yang berasal daripada Selatan India iaitu Tamil Nadu. Agama Hindu yang dianuti adalah dalam versi yang berbeza dengan agama orang-orang Melayu dahulu yang bercampur baur dengan kepercaya Hindu-Buddha. Kebanyakan masyarakat India di Malaysia bermazhab Kaumuram yang menyembah Tuhan Muruga selain menyembah tuhan Siva sebagaimana tradisi asal daripada selatan India. 

  • Masyarakat Hindu di Malaysia telah mendirikan kuil sesuai dengan agama, amalan dan kepercayaan mereka yang dibawa dari India. Mereka membangun kuil-kuil dalam berbagai ukuran dan rupa di ladang-ladang dan kediaman mereka secara bebas sebelum dan sesudah merdeka. 

  1. Kristian
  • Agama Kristian diperkenalkan di Tanah Melayu sejak zaman kejatuhan Melaka lagi  iaitu dengan pembinaan gereja Katolik pada tahun 1511. Namun, agama ini tidak mendapat sambutan daripada masyarakat Melayu berbanding masyarakat Cina dan India terutamanya pada zaman penjajahan British. Ramai masyarakat Cina dan India yang berpendidikan British telah memeluk agama Kristian. Agama Kristian yang mengandungi sistem nilai dan etika telah menyerap masuk dalam sistem etika masyarakat yang beragama Kristian di Malaysia.

Pembelajaran 5: Etika dan Peradaban Dalam Masyarakat Kepelbagaian

Topik Minggu Ini

  • Pembentukan etika dan peradaban dalam masyarakat pelbagai.
  • Komponen etika dan peradaban:
  1. Persekitaran Geo-Fisikal (Laut-Dataran-Gunung-ganang)
  2. Masyarakat dan Demografi (Tani-Pedagang-Industri)
  3. Ekonomi dan Pasaran (Sara Diri-Tukar Barang-Perdagangan)
  4. Falsafah dan Pemikiran (Tradisional-Modeniti)
  • Selat Melaka sebagai Gelanggang Kepelbagaian.
  • Warisan dan Pendigitalan Sejagat.

Pembentukan Etika dan Peradaban didalam Masyarakat Pelbagai

Pengenalan

Istilah peradaban berasal daripada perkataan Bahasa Arab bagi menjelaskan maksud ketamadunan. Maksud peradaban adalah budaya yang bertunjangkan kepada keluhuran nilai dan kehalusan budi pekerti. Istilah Melayu biasanya merujuk kepada peingkatan hidup masyarakat, kemajuan dan pembangunan. 

Etika bermaksud akhlak dan prinsip moral, manakala peradaban adalah satu sistem dimana tahap perkembangan sosial sesuatu kumpulan, kemajuan sosial, dan kebudayaan sesuatu bangsa.

Komponen Etika dan Peradaban Timur dan Barat

Terdapat dua bentuk peradaban di dunia iaitu peradaban Timur dan peradaban Barat. Pembahagian masyarakat dunia kepada dua kumpulan peradaban yang besar ini membawa erti yang tersendiri dan berbeza untuk setiap masyarakatnya.

Peradaban timur merujuk kepada masyarakat dari tamadun peribumi, tamadun Islam, tamadun Jepun, tamadun China dan tamadun India (iaitu masyarakat Islam dan Asia).

Peradaban Barat pula merujuk kepada masyarakat bukan Asia yang dikenali sebagai masyarakat Barat yang turut merangkumi Amarika Syarikat dan Eropah.

Setiap peradaban ini mempunyai sifat-sifat, pencapaian-pencapaian serta keunikan yang tersendiri. Namun begitu ini tidak bermakna sesebuah peradaban itu tertutup dan tidak menerima pengaruh dari luar sebaliknya terdapat interaksi yang berlaku antara peradaban ini.

Islam vs Barat

Bermula selepas perebutan wilayah-wilayah terutamanya Jerussalem yang merupakan wilayah suci orang Islam dan Kristian. 

Penjelajahan Islam ke Eropah membawa kepada pembukaan negeri-negeri Islam di Sepanyol, Rom Timur dan lain-lain.

Penjelajahan Barat ke Timur menjajah dan mengubah struktur ekonomi dan politik bukan sahaja di beberapa wilayah-wilayah Islam, akan tetapi di negeri-negeri lain seperti India dan China.

India dan Cina vs Barat 

Masyarakat Timur lain seperti masyarakat India dan Cina juga mengalami keterhakisan nilai etika dan peradaban. Globalisasi yang ditaja oleh peradaban Barat.  Secara jelas pada dua dekad terakhir abad kedua puluh kesan daripada revolusi teknologi maklumat. Globalisasi membawa maksud pensejagatan nilai-nilai kehidupan Barat mendokong liberalisme, kapitalisme dan demokrasi mengikut acuan mereka sendiri. 

Kesan pertembungan ini sangat mendalam sehingga hampir menghilangkan sama sekali ciri-ciri pengenalan diri atau identiti seorang Cina mahupun India. Bukan setakat dinegara ini, malah keseluruhan dunia pada hari ini seolah-olah seperti ‘seperti dunia Barat yang besar’ (the Great Western World), yang tidak langsung memperlihatkan identiti pelbagai budaya (cultural diversity) sebaliknya hanya peradaban Barat sahaja yang bermaharajalela. Kebebasan yang sepatutnya wujud pada sesebuah masyarakat atau negara dalam menentukan haluan kehidupan pada masa depan mereka sendiri telah dikongkong oleh pelbagai bentuk dominasi yang baru. Dominasi baru Barat ke atas masyarakat bukan Timur dapat dilihat dari aspek politik, ekonomi dan sosial (media dan budaya).

Selat Melaka Sebagai Gelanggang Peradaban

Catatan sejarah telah menunjukkan bahawa hubungan antara rumpun masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina dan India serta etnik-etnik lain telah wujud sebelum kehadiran penjajah Barat lagi. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, pedagang-pedagang Cina dan India telah datang berniaga dan ada antara mereka telah berkahwin dengan masyarakat setempat dan menetap di sini. Ikatan perkahwinan dan jaringan asimilasi telah membentuk komuniti baharu bagi masyarakat Cina yang dikenali sebagai Baba dan Nyonya. Dalam kalangan masyarakat India pula proses yang sama membentuk komuniti Chitti.

Interaksi dalam lingkungan budaya yang sama merujuk kepada hubungan satu budaya dalam sesuatu kaum seperti contoh orang Melayu yang terdiri dari pelbagai suku kaum seperti Jawa, Banjar, Bugis, Mandaling dan sebagainya. Manakala orang Cina mempunyai pelbagai suku kaum seperti Hakka, Kantonis, Hainan, Teochew dan sebagainya. Manakala bagi orang India seperti Malayalam, Punjabi dan sebagainya.

Kesultanan Melayu Melaka- Lambang Pertemuan Masyarakat Pelbagai Etnik

zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan zaman keemasan dan kemuncak keagungan kerajaan Melayu. Melaka diperintah oleh sultan dan pembesar yang berpandangan jauh. Melaka pada masa itu digelar sebagai The Venice of The East. Zaman keagungan Melaka boleh dilihat daripada aspek pemerintahan, perdagangan, kebudayaan dan kependudukan.

1) Pemerintahan yang bersistematik:

Pemerintahan dijalankan dengan sikap penuh diplomasi dan terbuka. Pelantikan ke jawatan penting adalah terbuka kepada semua etnik. Menurut sejarah Raja Mendeliar seorang yang berketurunan India pernah dilantik memegang jawatan penting di istana sultan. Kerajaan Melaka tidak ketinggalan mewujudkan hubungan diplomasi dengan kuasa besar pada masa itu. Antaranya hubungan dengan China. Kerajaan Melaka memberi peluang kepada etnik imigran untuk tinggal di Melaka, bahkan untuk berkahwin dengan wanita tempatan. 

Perkahwinan campur telah berlaku antara pemerintah Melaka dengan anak perempuan pemerintah negara China seperti perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah. Pemerintah telah mewujudkan pelbagai jawatan penting bagi melancarkan lagi sistem pemerintahan seperti jawatan Bendahara, Laksamana, Shahbandar dan sebagainya. Perlembagaan Melaka yang berasaskan ajaran Islam iaitu (Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka) telah menyumbang kepada kemakmuran negara.

2) Perdagangan

Aktiviti perdagangan antarabangsa juga berjalan dengan baik hasil dari sistem urus tadbir berteraskan Islam. Ancaman lanun dapat dikawal sepenuhnya dengan wujudnya Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Perdagangan rancak hasil sistem pemerintahan terbuka dan pentadbiran pelabuhan yang sangat cekap. Panglima dan Laksamana Melaka proaktif mengawal keselamatan dari ancaman perompak dan lanun. Kepulauan Melayu terkenal dengan hasil rempah-ratus yang dianggap barang mewah.

3) Kebudayaan

Keterbukaan pemerintahan Melaka menerima kehadiran para pedagang daripada seluruh pelosok dunia memungkinkan pelabuhan Melaka berkembang sebagai pelabuhan penting dunia. Kemajuan perdagangan dan kemajuan sebagai kota Metropolitan memungkinkan Melaka wujud sebagai kota multi-budaya di mana setiap budaya mempunyai tempat masing-masing. Pluralisme budaya bukanlah suatu fenomena baharu dalam alam Melayu. Interaksi antara pelbagai budaya seperti Arab pra-Islam, Hinduisme, Buddhisme, Arab Islam dan Eropah (Portugis, Belanda dan British) dengan budaya alam Melayu telah berlaku sekurang-kurangnya sejak abad ke-5 Masihi lagi.

4) Kependudukan

Zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka adalah merupakan zaman pluraliti kerana proses penghijrahan berlaku secara semulajadi atau alamiah tanpa ada paksaan daripada mana-mana pihak di mana mereka tidak memerlukan visa untuk memasuki sesuatu kawasan. Pedagang dari Arab, China, India dan negara-negara lain datang berdagang secara sukarela. Mereka juga telah berakomodasi dengan penduduk tempatan dan sistemnya dengan baik.

Pembentukan Masyarakat Majmuk Era Kolonialisme Inggeris

Ketibaan Inggeris adalah titik pemisahan antara pluraliti dan masyarakat plural. Berbeza dengan penjajah yang lain, Inggeris menggunakan senjata serampang tiga mata iaitu keagaaman, kekayaan dan kemegahan. Apabila penjajah British datang menjajah Alam Melayu, khususnya Tanah Melayu, Eropah telah mengalami perubahan epistemologi iaitu pemisahan antara negara dan agama. Akibat daripada pertelingkahan antara para agamawan dan saintis di Eropah, ilmu pengetahuan akhirnya terpisah dua iaitu agama dan sains moden. Pemisahan antara agama dan Sains Moden yang dinamakan Rocks of Ages: Sciences and religion in the Fullness of Life oleh Stephen Jay Gould (2002). Berlaku pada abad ke-15 Masihi apabila agama dianggap sebagai penyumbang perselisihan pendapat dalam kalangan manusia, pergaduhan dan peperangan. Manakala sains pula dianggap bersifat sarwajagat, menyatukan manusia dengan kefahaman yang sama dan hidup aman damai.

Hasilnya:

a) Pihak penjajah British menguasai pentadbiran negara, manakala hal ehwal agama Islam di tanah Melayu dan adat istiadat Melayu diletakkan di bawah pengawasan sultan.

b) Memperkenalkan sistem pentadbiran berdasarkan pengagihan kuasa antara tiga unsur penting iaitu kehakiman, eksekutif dan perundangan. Masing-masing pihak hanya menjalankan bidang kuasa masing-masing.

Sebelum tahun 1848, hampir kesemua penduduk Tanah Melayu terdiri daripada orang Melayu. Namun kemudian, perkembangan perusahaan  bijih timah yang bermula pada pertengahan abad ke-19 dan perusahaan getah pada abad ke-20 mengakibatkan penghijrahan orang Cina dan India secara besar-besaran ke Tanah Melayu.

Dasar kolonialisme British memberi kesan yang sangat besar terhadap masyarakat di Malaysia sama ada dalam bentuk material ataupun bukan material. 

Di Sabah, kaum bumiputera yang utama ialah Kadazan, Bajau, Murut dan Suluk. Syarikat Borneo Utara British yang memerintah Sabah telah menggalakkan penghijrahan orang Cina untuk bekerja di ladang-ladang getah dan tembakau. Bilangan penduduk Cina di Sabah meingkat daripada 27,801 orang pada tahun 1911 kepada 50,056 orang pada tahun 1932.

Manakala di Sarawak, kaum bumiputera yang utama ialah orang Iban, Bidayuh, Melayu dan Melanau. Dinasti Brooke yang memerintah di Sarawak telah menggalakkan kemasukan orang Cina untuk bekerja sebagai pedagang, petani dan pelombong. Bilangan penduduk Cina di Sarawak meningkat daripada kira-kira 5,000 orang pada tahun 1871 kepada 123,626 orang pada tahun 1939.

Jadi, perkara yang jelas ialah perluasan pentadbiran British telah memisahkan agama Islam daripada urusan politik, pentadbiran, undang-undang, ekonomi dan pendidikan.

Ringkasnya, pluraliti bukanlah fenomena baharu dan janggal dalam kalangan masyarakat Malaysia, namun pluraliti juga telah dan bakal memberi impak yang berterusan dan berpanjangan.

Warisan dan Pendigitalan Sejagat

Teknologi maklumat dan media digital yang dikuasai oleh Barat adalah satu cabaran besar kepada seluruh peradaban manusia dalam mempengaruhi nilai dan etika masyarakat kepelbagaian.

Media elektronik dan media cetak mempunyai kuasa atau pengaruh untuk memberitahu sesuatu dan bertindak sebagai satu saluran maklumat yang lebih berkesan kepada penerimanya.

Media elektronik merangkumi televisyen, radio dan internet. Manakala  media cetak pula merangkumi akhbar, majalah, buku dan sebagainya.

Kini, media elektronik seperti internet merupakan saluran yang paling banyak digunakan oleh masyarakat untuk menyampaikan atau menerima maklumat berkaitan sesuatu isu. Hal ini disebabkan interaksi lebih cepat dan pantas dalam memberi dan menerima maklumat.

Media massa merupakan salah satu bentuk kemajuan teknologi informasi dan komunikasi, melalui media massa yang semakin banyak berkembang memungkinkan informasi menyebar dengan mudah pada masyarakat dan sedikit sebanyak mempengaruhi corak pandangan, gaya hidup serta budaya suatu bangsa.

Media Massa merupakan salah satu bentuk kemajuan teknologi dalam bidang informasi dan komunikasi. Kemajuan bidang informasi membawa kita memasuki abad revolusi komunikasi. Ada yang menyebutkan sebagai “ledakan komunikasi”. Impak media digital ke atas etika dan peradaban dapat dilihat melalui:

1) Peningkatan jaringan komunikasi
2) Mendekatkan manusia dari seluruh dunia
3) Meningkatan taraf hidup
4) Membuka ruang kepada perkongsian ilmu tanpa sempadan.

/posts/mpu2183_4-6/2.jpg

Kesimpulan

Proses pembentukan etika dan peradaban dalam masyarakat telah dicorak oleh pelbagai faktor antaranya ialah kewujudan pelbagai kaum yang berlaku sama ada sebelum penjajahan mahupun selepas penjajahan. Poses pembentukan ini berlaku secara alami dan ada juga yang berlaku dalam bentuk paksaan. kepelbagaian masyarakat atau masyarakat majmuk ini yang berlaku hasil perdagangan, perkahwinan, penjajahan, pemindahan pendudukan (imigrasi) dan lain-lain mewujudkan kepelbagaian etika dan tamadun. Justeru perlunya etika dan nilai-nilai tamadun yang diterima bersama sehingga mewujudkan satu bentuk komuniti yang baru yang masing-masing menghormati etika dan nilai tamadun tersendiri. Memahami faktor, kesan dan langkah-langkah berhadapan dengan kepelbagai etika dan budaya sangat penting bagi menjamin kelangsungan sesebuah negara dalam menjamin kestabilan negara dalam pelbagai aspek. Media massa telah mempengaruhi etika dan tamadun manusia dewasa ini sama ada dalam bentuk positif mahupun negatif.

Perpaduan merupakan matlamat yang diidamkan setiap bangsa di muka bumi ini. Mengukuhkan detik-detik perpaduan dalam masyarakat dan memperbanyakkan lagi detik-detik perpaduan ini. Kita haruslah melihat detik-detik perbezaan sebagai titik perpaduan dan penyatuan kerana kita masih boleh bertoleransi dalam kelainan yang ada. Terdapat dua teras kesepaduan yang perlu dipegang dan dijunjung semua rakyat Malaysia iaitu Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara. Defisit sosial adalah isu dan hal yang menjadi tanggungjawab bersama untuk menyelesaikanya bagi menjamin kesepaduan berlaku dan masyarakat untuk terus kukuh. Setiap pihak boleh dan perlu memainkan peranan dalam mencapai dan mengekalkan perpaduan sama ada individu, NGO, institusi, taman, desa, rakyat dan pemimpin, swasta atau kerajaan. Hasil perpaduan adalah cukup manis untuk dikongsi bersama semua rakyat.

Pembelajaran 6: Pemantapan Kesepaduan Nasional Malaysia

Topik Minggu Ini

  • Perpaduan : Matlamat Diidamkan
    • Detik perpaduan 
    • Detik perbezaan
  • Kesepaduan : Tahap Dicapai
    • Kesepaduan nasional
    • Kesepaduan sosial – Defisit sosial
    • Etos nasional
  • Penyatupaduan : Proses diusaha
    • Etnik – Tahap keetnikan, batas etnik, hubungan sosial merentas etnik.
    • Alat penyatupaduan - Tawar menawar, perundingan dan pengantaraan.

Perpaduan sebagai Matlamat yang Diidamkan

Perpaduan menjadi matlamat setiap bangsa dan negara agar hidup sentiasa harmoni dan tenteram tanpa menggugat kemananan. Tanpa keamanan, rakyat tidak akan hidup selesa dan negara akan bergolak setiap masa. Hal ini boleh dilihat di negara-negara bergolak apabila peperangan sentiasa berlaku dan rakyat hidup dalam keadaan bergantung kepada bantuan luar. Kanak-kanak, perempuan dan orang tua menjadi mangsa dan kebuluran serta kemiskinan yang tidak terpisah daripada kehidupan. Betapa pentingkan perpaduan perlu dibina dan dipupuk agar ianya menjadi sesuatu budaya dan amalan kehidupan oleh setiap rakyat dalam negara ini. Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah dan Pengasas Institut Kajian etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan:

“Perpaduan sebagai suatu hasrat yang diidamkan adalah sukar diukur, dilihat secara nyata mahupun berkekalan. Perkara ini biasanya hadir mengikut keadaan, keperluan dan detik-detik tertentu secara formal atau tidak formal dalam kehidupan seharian masyarakat”.

Detik Perpaduan

Detik perpaduan bermaksud saat yang boleh dilihat berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat. Antara suasana yang sering dilihat menunjukkan muncul perpaduan adalah detik-detik ketika pergaulan di pasar, mengadakan majlis perkahwinan, tempat makan, sokongan dalam sukan, memberi bantuan ketika bencana, menggunjungi tempat percutian, menikmati cuti umum pelbagai perayaan, hadir menonton filem di pawagam dan sebagainya.

Detik-detik Perpaduan di Malaysia:

1) Permainan Bola Sepak

Perlawanan bola sepak adalah antara satu daripada saat dan detik perpaduan yang jelas dapat dilihat dalam kalangan rakyat Malaysia apabila semua bangsa tanpa mengira kaum dan keturunan sama-sama memenuhi stadium bagi menyokong pasukan masing-masing tanpa melihat pasukan itu terdiri dari kaum, atau bangsa dan agama yang berbeza. Penyokong bola sepak Malaysia dikenali sebagai “Harimau Malaya”.

2) Perkahwinan: “Street Wedding”

Kebiasaannya majlis perkahwinan yang dilakukan di taman-taman perumahan menimbulkan suasana yang sesak dan kawasan meletak kenderaan para tetamu sangat terhad, namun setiap penduduk bertolak ansur dalam perkara tersebut kerana sikap saling memahami antara satu sama lain tanpa mengira agama dan buadaya.

3) Kesihatan

Klinik dan hospital menjadi tempat kunjungan untuk memeriksa masalah kesihatan dan mendapatkan rawatan. Tidak kira apa jenis bangsa masyarakat Malaysia sekalipun samada pesakit, jururawat, pembantu hospital dan semua kakitangan hospital akan memastikan pesakit yang datang akan diberikan rawatan yang sepatutnya.

4) Makanan

di Malaysia terdapat pelbagai jenis makanan dan minuman antaranya nasi lemak, teh tarik, roti canai, soto, bakso dan sebagainya dimakan oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira rupa , bangsa dan agama. Malah ia menjadi makanan Malaysia yang sangat unik dan dikenali dunia.

5) Pemain Sukan

Semua rakyat Malaysia akan menyokong pemain yang mewakili negara tanpa mengira bangsa dan agama. Rakyat Malaysia akan memberikan sokongan dan menikmati setiap perlawanan yang melibatkan pemain negara tanpa melihat kepada bangsa, agama  dan kaum. Datuk Mokhtar  Dahari, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan banyak lagi adalah contoh yang terbaik dalam hal ini.

/posts/mpu2183_4-6/3.jpg

Detik Perbezaan

Detik perbezaan bermaksud saat dan ketika dilihat masyarakat atau rakyat tidak bersama walaupun tidak bergaduh dalam perkara tersebut. Namun perbezaan ini perlu dilihat dari aspek positif untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan hubungan antara kaum. Ini kerana kita masih boleh menghormati antara satu sama lain walaupun terdapat perbezaan.

Detik-detik Perbezaan

1) Sambutan Perayaan.

Detik perbezaan dalam sambutan perayaan di Malaysia jelas kelihatan kerana sambutan perayaan selalunya mempunyai kaitan dengan kebudayaan dan agama setiap agama yang pelbagai. Namun tidak sedikit yang kita lihat kaum dan penganut agama lain mengunjungi rumah terbuka bagi meraikan sambutan hari raya sama ada dalam kalangan pemerintah, institusi dan individu.

Namun perbezaan ini bukanlah sesuatu yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan negara, kerana masing-masing perlu menghormati agama dan kepercayaan masing-masing.

2) Jenayah

Apabila  berlaku jenayah, pastinya kita akan melihat apakah jenis jenayah yang dilakukan, siapakah yang terlibat dalam jenayah tersebut. Hal ini suatu yang salah kerana jenayah tidak ada kaitan dengan sesuatu bangsa. Kesalahan tetap kesalahan walau dilakukan oleh siapa sekalipun. Sebagai warganegara kita haruslah patuh kepada setiap peraturan dan undang-undang negara kerana hukuman tidak melihat kepada bangsa untuk dijatuhkan. Setiap rakyat sepatutnya mendaulatkan undang-undang negara.

3) Tempat kerja

Telah timbul isu berkenaan tempat kerja yang memilih bangsa-bangsa tertentu dan syarat-syarat tertentu. Sepatutnya isu ini tidak perlu timbul melainkan jika melibatkan jawatan-jawatan keagamaan. Namun perlu menilai dari sudut keahlian dan kelayakan individu tanpa mengira bangsa dan agama.

4) Pengebumian

Pengembumian mempunyai kaitan dengan anutan agama seseorang. Walau bagaimanapun, agama tidak menghalang untuk seseorang penganut bersedih dan menghormati atas kehiangan salah seorang ahli keluarga yang berlainan bangsa dan agama. Ziarah menziarahi juga digalakkan sebagai memberi sekongan kepada ahli keluarga yang kematian orang yang tersayang.

Kesepaduan: Tahap yang Dicapai

Kesepaduan Nasional

Kesepaduan nasional bermaksud penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial dan kebudayaan yang berbeza lalu menjadi satu entiti fizikal. Penyatuan ini lebih merupakan penyatuan yang berbentuk zahir dan batin.

Hasil daripada penyatuan ini keadaan akan menjadi aman, stabil, makmur dan sejahtera. Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan masih terdapat perbezaan dalam bentuk defisit sosial yang wujud dalam sesebuah masyarakat di negara kita ini.

Dalam usaha mewujudkan kesepaduan nasional, alat yang utama sebagai teras kesepaduan nasional ialah Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Dua perkara ini menjadi tunjang utama kepada kesepaduan nasional.

Kesepaduan nasional amat penting untuk mewujudkan masyarakat yang dinamik. Dari segi kemajmukan bangsa, akan lahir pelbagai etnik dan budaya yang mengutamakan kestabilan dan kemajuan. Berkongsi norma hidup, persamaan nilai dan kerencaman sosial.

/posts/mpu2183_4-6/4.jpg

Kesepaduan Sosial dan Defisit Sosial

Kesepaduan Sosial adalah antara teras penting dalam menjamin semua bangsa di Malaysia berada dalam keadaan aman dan harmoni. Ia merupakan asas utama kepada keadaan yang stabil tanpa ada sebarang konflik dalam masyarakat Malaysia. konsep kesepaduan sosial yang diasaskan oleh kerajaan adalah formula penting untuk menguruskan masyarakat yang berbilang kaum dan agama khususnya di Malaysia.

Terdapat enam dimensi yang ada dalam kesepaduan sosial iaitu:

  1. Kepunyaan-Pemencilan: Ia merujuk kepada kewujudan atau ketidakhadiran nilai-nilai yang dikongsi dan perasaan entiti yang sama.

  2. Rangkuman-Pengecualian: Ia merujuk kepada tahap kesaksamaan dan peluang dalam kalangan warga dalam ekonomi khasnya pasaran.

  3. Penyertaan-Ketakterlibatan: Ia berfokus kepada penyertaan dalam politik dalam kalangan rakyat sama ada di tahap pusat atau lokal dalam kerajaan.

  4. Pengiktirafan-Penolakan: Ia merujuk kepada kebimbangan akan perbezaan atau toleransi dalam kepelbagaian dalam kalangan masyarakat.

  5. Setara/setaraf-tidak setara: Ia merujuk kepada penyelenggaraan legitimasi dalam politik dan institusi sosial-daripada tahap negeri kepada individi dalam masyarakat yang mempunyai minat yang berbeza.

  6. Kesamaan-ketidaksamaan: Ia merujuk kapada persamaan dan peluang yang sama dalam kalangan masyarakat tanpa mengira etnik, agama , budaya dan bahasa.

Definisi Sosial

Sosial ialah perkara yang belum selesai dan perlu diusahakan penyelesaiannya satu persatu, memerlukan waktu dan kesabaran semua pihak, perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan berasaskan prinsip tawar-menawar, perundingan atapun mediasi.( Dr Shamsul Amri Baharuddin, 2019)

Sepuluh (10) perkara utama yang menjadi topik kepada isu defisit sosial ialah:

  1. Etnisiti
  2. Agama
  3. Kelas sosial
  4. Pendidikan
  5. Bahasa
  6. Jurang generasi
  7. Gender
  8. Politik federalisme
  9. Ruang (bandar-desa)
  10. Media

/posts/mpu2183_4-6/5.jpg

Langkah-langkah menangani defisit sosial ialah:

  1. Kesepaduan sosial dalam Aspek Politik Federalisme. Maksudnya parti-parti politik pembangkang sebelum ini membentuk Pakatan Harapan, memenangi PRU ke 14 tanpa kekerasan dan berjaya membentuk kerajaan dalam tahun 2018.

  2. Kesepaduan sosial dalam aspek bahasa: Bahasa Melayu adalah salah satu alat yang dapat menyatupadukan rakyat Malaysia. Penggunaan bahasa Malaysia di sekolah, agensi kerajaan mahupun swasta dapat menjadi bahasa penyatuan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

  3. Kesepaduan sosial Dalam aspek etnisiti di beberapa negeri seperti Pantai Tmur, masyarakat Melayu  dan Cina mempunyai hubungan yang sangat erat. Sebagai contoh, masyarakat Cina di Kelantan boleh bercakap dialek Kelantan tanpa pelat. 

  4. Kesepaduan sosial dalam aspek agama. Keharmonian dalam kepelbagaian bangsa ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa. Namun sebagai negara dengan rakyat berbilang kaum dan budaya, kadangkala masyarakat kita berdepan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian seperti perbezaan kefahaman mengenai agama, budaya dan kaum masing-masing.

Etos Nasional

Menurut kamus dewan, etos bermaksud sifat ciri sesuatu bangsa, budaya, era dan lain-lain. Ia berasal daripada perkataaan Greek yang membawa makna perwatakan atau karakter.

Etos Nasional Bangsa Malaysia menurut pendapat Tun Dr Mahathir ialah:

  1. Perkongsian sejarah
  2. Perkongsian nilai
  3. Perasaan kekitaan bersama
  4. Perkongsian masa depan
  5. Kesetiaan
  6. Komitmen
  7. Keterikatan Emosi Negara

Menurut Nazri Muslim (2016) terdapat beberapa dimensi utama yang dapat menjelaskan etos bangsa sesebuah masyarakat. Etos bangsa terbina apabila masyarakat berkongsi nilai yang sama. Nilai masyarakat yang dikongsi bersama merangkumi elemen kerjasama, menghormati setiap individu, toleransi, disiplin diri (etika dan moral) dan demokrasi. Etos bangsa juga akan terbina melalui perkongsian perasaan dan semangat.

Masyarakat multietnik Malaysia membawa suatu identiti tersendiri. Identiti bangsa Malaysia merujuk kepada beberapa sub dimensi iaitu:

  1. Bangsa Malaysia
  2. Bahasa Malaysia
  3. Simbol-simbol negara
  4. Beli barang buatan Malaysia

Kesimpulan, sesebuah masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran tentang etos bangsa tidak akan berupaya untuk hidup sebagai satu unit kolektif apatah lagi untuk membentuk sebuah negara bangsa yang ideal.

Penyatupaduan Sebagai Proses yang Diusaha

Usaha proses penyatupaduan oleh kerajaan ialah apabila terbinanya satu model integrasi kesepaduan nasional yang dinamakan sebagai Indeks Perpaduan Nasional 2018 (IPNas). Model ini menyenaraikan tiga perkara utama sebagai asa dalam menetukan indeks perpaduan iaitu:

  1. Perpaduan
  2. Kesepaduan
  3. Penyatupaduan

/posts/mpu2183_4-6/6.jpg

IPNas merupakan rujukan untuk mencipta usaha membina tapak integrasi dengan menggunakan panduan megenalpasti kategori Defisit Sosial untuk memperbaiki kekurang tersebut.

Etnik- tahap keetnikan, Batas Etnik, Hubungan Sosial Rentas Etnik

Etnik bermaksud sesuatu yang berkenaan bangsa manusia. Berikut adalah komponen dalam IPNas yang berkaitan dengan etnik iaitu:

  1. Konstruk Tahap Keetnikan: Mempunyai 3 komponen iaitu keetnikan, kemodenan dan kestabilan.

  2. Konstruk Batas Etnik: mempunyai 4 komponen iaitu material, status, tuntutan sosial dan tindakan gantian.

  3. Konstruk Hubungan Sosial Rentas Etnik: mempunyai 3 komponen iaitu hubungan etnik antara individu, hubungan etnik dalam komuniti dan tahap keaktifan penyertaan dalam institusi

Alat Penyatupaduan- Tawar-menawar, perundingan dan pengantaraan

Alat penyatupaduan ialah salah satu formula dan usaha berterusan pada peringkat semua lapisan masyarakat untuk menyelesaikan defisit sosial berwahanakan tapak integrasi berprinsipkan tawar-menawar, perundingan dan mediasi.

Tapak integrasi adalah kunci kepada kesepaduan, Proses proses tapak integrasi berlaku melalui tindakan berikut:

  1. Kesepaduan Dari Atas ke Bawah.
    1. Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bersifat kelompok dan strategik.
    2. Wujud semenjak 1970, bilangan ahli mencecah lebih kurang 8500 ahli di seluruh negara.
    3. terus mekar dan matang, bermula dari rintasi sekuriti ke agen pembangunan.
  2. Bawah ke Atas
    1. Peranan NGO sebagai pengagih habuan pembangunan.
    2. NGO sebagai agen pemantauan pelaksanaan program untuk kaum minoriti.
  3. Inisiatif Akar Umbi
    1. Pelaksaan “Street Wedding” iaitu majlis perkahwinan rakyat yang berlangsung di seluruh negara setiap hujumg minggu.
    2. Inisiatif kelompok akan umbi paling berkesan tanpa penglibatan langsung pemerintah.

Kesimpulan

Perpaduan merupakan matlamat yang diidamkan setiap bangsa di muka bumi ini. Mengukuhkan detik-detik perpaduan dalam masyarakat dan memperbanyakkan lagi detik-detik perpaduan ini. Kita haruslah melihat detik-detik perbezaan sebagai titik perpaduan dan penyatuan kerana kita masih boleh bertoleransi dalam kelainan yang ada. Terdapat dua teras kesepaduan yang perlu dipegang dan dijunjung semua rakyat Malaysia iaitu Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara. Defisit sosial adalah isu dan hal yang menjadi tanggungjawab bersama untuk menyelesaikanya bagi menjamin kesepaduan berlaku dan masyarakat untuk terus kukuh. Setiap pihak boleh dan perlu memainkan peranan dalam mencapai dan mengekalkan perpaduan sama ada individu, NGO, institusi, taman, desa, rakyat dan pemimpin, swasta atau kerajaan. Hasil perpaduan adalah cukup manis untuk dikongsi bersama semua rakyat.

 

中文翻译