MPU2183 Pembelajaran 1 - 3

Pembelajaran 1: Pengenalan Penghayatan Etika dan Peradaban
Topik Minggu Ini
- Pengenalan konsep etika dan peradaban.
- Susur masa etika dan peradaban berdasarkan Prakolonial, Kolonial dan Pascakolonial.
- Kerangka menganalisis etika dan peradaban acuan Malaysia melalui sejarah, struktur sosial dan biografi (riwayat)
- Penghayatan etika dan peradaban mengikut peringkat individu, keluarga, komuniti dan masyarakat (tempatan dan global)
- Penghayatan etika dan peradaban mengikut konteks masyarakat, negara dan pasaran.
Pengenalan Konsep Etika Dan Peradaban
https://www.youtube.com/watch?v=4zOvHmkEvSk
Etika dan ‘Peradaban adalah dua konsep umum sejagat yang dipilih untuk difahami dalam kursus ini. Kedua-dua konsep ini penting untuk memahami dan menghayati dinamika sesebuah masyarakat. Sebagai permulaan kepada kursus ini adalah sesuai dibincangkan kedua-dua konsep ini satu persatu masing-masing dengan tersendiri dan kemudiannya melihat kaitannya dalam konteks susur masa prakolonial, kolonial dan pascakolonial.
Peradaban berasal daripada perkataan adab dalam bahasa Arab yang merujuk kepada tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani sesuatu bangsa atau masyarakat. Kesopanan, budi perkerti dan akhlak yang semuanya menunjukkan pada sifat yang tinggi dan mulia.
Menurut Al Atas, keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang mencapai arah kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat. Ibnu Khaldun menggunakan Umran dan Hadharah. Umran bermaksud kawasan tanah atau rumah yang didiami serta sekelompok masyarakat yang menetap dalam suasana makmur. Hadharah pula ialah suatu kawasan, bandar kampung atau tanah yang diusahakan.
Pada abad ke-19 masihi baru ditemui dalam bahasa Inggeris perkataan yang seerti dengan Umran dan Hadharah iaitu Civilisation. Menurut Arnold Tynbee, peradaban adalah pencapaian daripada hasil budi daya manusia, yang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia sama ada secara fizikal seperti bangunan, jalan, atau non fizikal seperti nilai, seni dan sebagainya. Edward Taylor pula berpandangan Culture atau C__ivilisation merangkumi suatu keseluruhan yang komplek meliputi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat istiadat dan elemen lain yang dicapai oleh seseorang sebagai anggota masyarakat.
Definisi bagi etika pula boleh dilihat dari bahasa iaitu prinsip moral atau nilai-nilai akhlak (adat sopan santun ) yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan manusia. Daripada takrif Sosiologi pula ia adalah satu standard menyeluruh mengenai benar atau salah yang menjelaskan apa yang sebenarnya perlu dilakukan oleh manusia dalam konteks apa yang benar, tanggungjawab, manfaat kepada masyarakat atau sifat baik.
Perkataan etika lahir daripada perkataan latin yang berbunyi Ethos. Definisi daripada bahasa ethos ialah sifat ciri sesuatu bangsa, budaya, dan era. Ia juga bermaksud usaha membangunkan bangsa berdasarkan latar individu, keluarga dan komuniti yang pelbagai serta berbeza sejarah, etnik, bahasa, agama, budaya dan latar geografi melebihi kesepakatan ciri asas negara atau bangsa.
Etiket berasal dari perkataan Etiquette yang bermaksud peraturan-peraturan formal mengenai tingkah laku yang betul dan sopan dalam masyarakat atau dengan lebih mudah difahami budi bahasa. ( Kamus Dwibahasa dari Dewan Pustaka dan Oxford –Fajar )
Latar Belakang Ilmu Etika dan Peradaban
https://www.youtube.com/watch?v=NLpf5BWDEoo
Etika dan peradaban adalah dua konsep yang bergerak seiring. Di mana ada etika, di situ ada peradaban dan di mana ada peradaban maka di situ juga akan ada etika. Tokoh-tokoh falsafah awal dunia seperti Socrates, Plato dan Aristotle telah membicarakan dua konsep etika dan peradaban ini semenjak tahun 470-300 SM dan karya Plato yang paling popular iaitu ‘Republic’ sekitar tahun 380 SM telah menyentuh secara langsung tentang dua konsep etika dan peradaban ini. Oleh kerana falsafah Socrates tidak ditulis oleh beliau sendiri tetapi oleh sarjana-sarjana terkemudian maka karya Plato ini menjadi rujukan bertulis yang terkenal dalam proses memahami dua konsep etika dan peradaban sejak zaman dahulu sehingga kini. Karya ‘Republic’ ini berdasarkan kepada falsafah Socrates yang membicarakan konsep teras utama etika iaitu keadilan dengan fokus kepada pembentukan negara dan manusia yang adil.
Socrates telah menerangkan tentang konsep keadilan dan sama ada manusia yang adil lebih bahagia berbanding dengan manusia yang tidak berlaku adil. Daripada konsep keadilan manusia ini, ianya telah berkembang dalam pelbagai dimensi kehidupan dan membentuk peradaban manusia dan seterusnya ke arah pembinaan negara bangsa. Socrates berpendapat, manusia yang baik akan melakukan kurang masalah atau kemudaratan kepada manusia yang lain walaupun kepada musuh mereka sendiri. Begitu juga dengan pemerintah, di mana Socrates menyatakan mana-mana pemerintah yang tidak melaksanakan prinsip yang adil dalam sistem pentadbirannya akan dianggap sebagai pemerintah yang gagal sama seperti seorang lelaki yang gagah tetapi sering melakukan kesilapan akan dianggap sebagai seorang lelaki yang lemah dan gagal dalam kehidupannya. Untuk menjadi pemerintah yang adil, memiliki ilmu pengetahuan adalah kunci utama, amat penting dan perlu ada pada diri seorang pemimpin.
Aristotle (384 – 322SM) dalam karyanya ‘Magna Moralia’ (etika teragung) menjelaskan falsafah asal etika mengenai konsep ‘kebaikan adalah pengetahuan’ sebenarnya dipelopori oleh Socrates. Socrates juga dikatakan sebagai pelopor kepada konsep ‘kebaikan moral’ dan individu yang bertanggungjawab memberi makna kebaikan moral dan menyebarkannya ke seluruh dunia. Pengaruh falsafah etika Socrates ini dihuraikan dengan lebih terperinci dalam karya Aristotle iaitu ‘Nicomachean Ethics’ yang akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam bahagian teori etika klasik yang berkaitan dengan Teori Kebaikan oleh Aristotle.
Sementara itu, falsafah Socrates yang menyentuh secara langsung mengenai pembinaan peradaban manusia yang dihuraikan oleh Plato dalam karyanya ‘Republic’ secara jelas membahagikan manusia kepada tiga kelas sosial iaitu pekerja, tentera dan pemerintah. Setiap kelas masyarakat ini mempunyai nilai moral atau etika yang harus dipegang dan dilaksanakan. Untuk menjadi kelas pekerja, seseorang itu mestilah mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu misalnya ilmu pertukangan, pertanian, penternakan. Jika dalam kelas tentera pula, seseorang itu harus mempunyai sifat keberanian, gagah dan sanggup mengembara. Sementara untuk menjadi pemerintah seseorang itu perlu memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, rasional, kawalan kendiri, mencintai kebijaksanaan dan boleh membuat keputusan yang baik dan tepat untuk masyarakat. Semua nilai yang perlu ada pada tiga kelas masyarakat berdasarkan falsafah peradaban manusia oleh Socrates ini telah berkembang kemudiannya menjadi falsafah kepada konsep moral atau etika sejagat yang digunapakai sehingga ke hari ini.
Menelusuri Pergerakan Idea Dan Amalan Etika Dan Peradaban Alam Melayu
https://www.youtube.com/watch?v=d62XbKI9Jdk
Pendahuluan
Etika dan peradaban penting dalam sesebuah masyarakat, namun tahap penghayatannya berbeza dan dipengaruhi oleh biografi masyarakat , perkembangan sejarah dan struktur sosial. Penghayatan etika dan peradaban di Malaysia boleh dihuraikan dan difahami mengikut ‘acuan Malaysia’ berdasarkan susur masa evolusi sejarahnya, iaitu Prakolonial, Kolonial Pascakolonial.
Susur Masa Etika
-
Prakolonial
- Adab, adat resam dan adat istiadat
- Pada era prakolonial, dalam wilayah Alam Melayu, konsep ‘adab’ dan ‘adat’ (adat istiadat dan adat resam) merupakan sebahagian daripada bentuk etika ketika itu yang telah wujud mendukung sistem nilai pemerintahan, masyarakat tradisional serta peradaban.
-
Kolonial
- Zaman negara kita dijajah etika dibawa dalam bentuk berpakaian, percakapan, pentadbiran, ketuanan, cara makan, memberi tabik hormat dan sebagainya.
-
Pascakolonial
- Zaman pascakolonial merupakan kolonial era moden
- Masyarakat telah menerima variasi dan percampuran versi etika secara langsung atau melalui teknologi.
- Nilai etika bercampur baur ini wujud dalam persekitaran formal dan tidak formal kehidupan kita.
Kesimpulan
Konsep etika dan peradaban perlu dihayati melalui kerangka pemikiran acuan Malaysia agar kekuatan nilai keperibadian dalam norma masyarakat berdiri utuh sekaligus mampu mendepani cabaran kehidupan yang semakin kompleks. Matlamat ke arah pembinaan negara bangsa yang hebat dapat dibentuk dan dicapai dan akhirnya membawa kepada matlamat akhir yang diidamkan iaitu perpaduan dan kehidupan yang harmoni dengan persekitarannya.
Umumnya, etika dan peradaban adalah suatu keperluan manusia untuk hidup secara harmoni dengan alam sekitarnya. Ada perkara dalam etika dan peradaban yang berlaku secara semulajadi dan ada juga yang perlu dipelajari. Pengalaman dan pembelajaran manusia akan menjadikan manusia memahami etika dan adab dengan persekitarannya. Proses ini berterusan mengikut keperluan tertentu manusia.
Pembelajaran 2: Pengenalan Penghayatan Etika dan Peradaban Dalam Acuan Malaysia
Topik Minggu Ini
- Kerangka menganalisis etika dan peradaban acuan Malaysia melalui sejarah, struktur sosial dan biografi (riwayat)
- Penghayatan etika dan peradaban mengikut peringkat individu, keluarga, komuniti dan masyarakat (tempatan dan global)
- Penghayatan etika dan peradaban mengikut konteks masyarakat, negara dan pasaran.
Kerangka Menganalisis Etika Peradaban Mengikut Acuan Malaysia
Tahap penghayatan etika dan peradaban adalah berbeza dan dipengaruhi oleh perkembangan sejarah, struktur sosial dan biografi masyarakat
Melalui sejarah kita dibentuk menjadi siapa kita hari ini, dimana kita lahir, dari mana asal kita. Dalam konteks ilmu sosiologi, sejarah ialah himpunan peristiwa dan pengalaman lalu yang saling berkait melibatkan individu, keluarga dan komuniti dalam masyarakat. Dengan itu ia membentuk personaliti, karektor, cara kita berfikir dan cara kita bertingkahlaku. Cara kita dibesarkan oleh keluarga membentuk peribadi kita berbeza dengan keluarga lain. Bagaimana pula individu yang tidak mempunyai keluarga. Individu yang dibesarkan dengan displin tertentu akan mempunyai etika yang berbeza dengan individu lain. Komuniti dan kejiranan serta persekitaran seseorang itu dibesarkan juga akan mempengaruhi etika seseorang itu. Apatah lagi negeri dan negara yang berbeza juga akan membezakan pengamalan etika seseorang.
Struktur sosial juga memberikan perbezaan dalam pembentukan seseorang individu dan masyarakat. struktur sosial tradisional dan struktur sosial moden pastinya membentuk etika yang berbeza. Contohnya masyarakat zaman dahulu etika yang ketat dalam pematuhan kepada sistem feudal. Struktur sosial sangat jelas dipatuhi. darjat golongan atasan dan bawahan jelas terbeza. Pada zaman sekarang, struktur sosial tidak ketara perbezaannya. Bahasa pertuturan antara struktur sosial yang berbeza juga tidak lagi dibezakan penggunaannya pada zaman sekarang. jika pada zaman dahulu Bahasa dalam digunakan oleh golongan Istana. Tetapi pada zaman sekarang laras bahasa terbeza mengikut tempat dituturkan dan juga tahap pendidikan seseorang.
Biografi atau riwayat atau kisah hidup seseorang juga memberikan pembangunan etika yang berbeza kepada seseorang. Dari segi sosiologi adalah hubungan yang dibina dan terjalin dalam sesebuah masyarakat yang berfungsi untuk menggerakkan dinamika masyarakat. Biografi bermaksud dari segi bahasa ialah riwayat atau kisah hidup seseorang. Dari segi sosiologi biografi adalah fenomena struktur sosial dan proses sejarah yang mencorakkan pengalaman individu, keluarga, komuniti dalam masyarakat dan sebaliknya, boleh pula mencorakkan struktur sosial dan proses sejarah. Contohnya pengalaman warganegara Malaysia dan Indonesia yang berbeza dalam mendapatkan kemerdekaan membezakan etika warganegara kita dengan mereka terhadap patriotisme dan kenegaraan.
Penghayatan Etika Peradaban Mengikut Peringkat – Individu, Keluarga, Komuniti, Masyarakat (Lokal Global)
https://www.youtube.com/watch?v=l5UGsLi6P0M
Individu, Keluarga dan Komuniti adalah struktur sosial asas sebuah masyarakat. Individu berkembang menjadi keluarga, keluarga berkembang menjadi komuniti dan seterusnya menjadi masyarakat dan negara. Kita boleh meneliti etika yang telah terbina dalam diri kita, etika dalam keluarga kita dan etika dalam komuniti (tempat tinggal, tempat belajar dan tempat kerja kita). Dalam setiap individu ada nilai etika tertentu. Dalam keluarga, etika itu dibina oleh individi yang menjadi ahli dalam keluarga tersebut. Individu yang dominan atau majoriti ahli dalam keluarga akan mempengaruhi etika dalam keluarga tersebut. Norma atau kebiasaan dalam keluarga tertentu akan membentuk etika dalam keluarga tersebut. Begitu juga masyarakat yang dipengaruhi amalan etika dari individu dan keluarga yang membentuk masyarakat tersebut.
Apakah etika yang baik? Apakah etika yang tidak baik kebiasaannya ditentukan atau dipengaruhi oleh norma atau kebiasaan yang diterima oleh majoriti individu atau keluarga dalam sesuatu masyarakat. Sebagai contoh, etika kerja di Jepun dibentuk oleh individu-individu yang majoritinya mengamalkan etika kerja yang rajin, berkualiti, menepati waktu dan bersungguh-sungguh.Bagaimana pula etika kerja di Malaysia?
Oleh itu Individu, Keluarga dan Komuniti yang beretika sudah pasti mewarnai peradaban Malaysia yang baik. Etika yang tidak baik seperti rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya perlu ditolak oleh masyarakat kerana yang memusnahkan peradaban kita dalam jangka panjang.
Etika individu dikategorikan sebagai falsafah atau gaya pemikiran yang dipegang oleh oleh seseorang individu mengenai kepercayaannya terhadap prinsip-prinsip moral seperti prinsip betul atau salah. Etika individu boleh mempengaruhi semua ruang kehidupan individu berkenaan sama ada terhadap dirinya sendiri, dengan keluarga, rakan dan masyarakat. Walaupun etika individu ini jarang dikenali sebagai suatu konsep falsafah etika yang jelas, namun dalam peradaban barat atau timur, pegangan seseorang individu terhadap konsep baik atau buruk, betul atau salah menjadi panduan kepada mereka untuk melakukan sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan seharian. Kajian kebanyakan sarjana menunjukkan etika individu ini mempengaruhi pemikiran dan tindakan manusia dalam semua bidang seperti budaya, politik, agama, ekonomi dan pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat yang lain termasuk dalam hal-hal yang dianggap rutin biasa seperti bagaimana untuk makan dan berapa banyak yang harus dimakan.
Pada hari ini mungkin ramai yang beranggapan etika individu ini terlalu fokus kepada nilai yang dipegang oleh seseorang individu tetapi dalam dunia sebenar, etika individu ini amat penting sebagai panduan hidup manusia demi mencapai matlamat masing-masing.
Contohnya, dalam hal memilih jodoh perkahwinan (memilih pasangan lelaki atau perempuan yang betul sebagai bakal suami atau isteri). Daripada zaman dahulu hingga sekarang, etika individu ini wujud dan berkembang selaras dengan peredaran masa dan zaman. Jika dahulu, mungkin pasangan hidup yang baik dan berakhlak menjadi pilihan tetapi kini bukan setakat baik atau berakhlak sahaja, malah perlu pasangan hidup yang mampu membiayai kos kehidupan seperti perumahan, pendidikan anak, kesihatan keluarga dan banyak lagi komitmen yang lain. Oleh kerana itu, etika individu kini telah berkembang bukan setakat berorientasikan kepada nilai peribadi seperti bagaimana kita hidup, bertindak dan mempunyai perasaan tetapi juga bagaimana kita harus hidup, bertindak dan respon terhadap keadaan dalam situasi yang berbeza-beza. Etika individu ini menjadi asas yang penting dan utama kepada pembentukan etika sekelompok individu yang dipanggil masyarakat.
Etika masyarakat pula dirujuk sebagai panduan dan prinsipprinsip moral yang dipersetujui dan diterima oleh sesebuah masyarakat. Etika masyarakat ini penting untuk dipatuhi dan diamalkan oleh seseorang individu dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu nilai yang diterima dalam sesebuah masyarakat harus diamalkan oleh masyarakat berkenaan. Namun nilai ini berbeza-beza mengikut amalan, budaya, agama yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Jika suatu nilai itu diterima oleh sesebuah masyarakat, ini tidak bermakna akan diterima oleh masyarakat lain. Oleh yang demikian, definisi etika juga adalah berbeza-beza mengikut masyarakat yang disebabkan oleh perbezaan nilai yang diterima ini. Contohnya dalam masyarakat barat, masuk ke dalam rumah dengan memakai kasut adalah nilai yang diterima dan menjadi amalan sama ada oleh tuan rumah atau tetamu yang datang. Namun nilai ini tidak diterima dalam masyarakat timur. Kebanyakan masyarakat di timur akan masuk ke dalam rumah dengan menanggalkan kasut di luar rumah sama ada oleh tuan rumah atau tetamu yang datang. Jika tuan rumah atau tetamu yang datang, masuk ke dalam rumah dengan memakai kasut, maka mereka dianggap melanggar batas susila masyarakat timur, tidak beradab dan tidak beretika.
Etika dalam masyarakat ini memainkan peranan yang penting sebagai panduan dalam membentuk tingkahlaku individu dalam masyarakat berkenaan. Sesuatu nilai yang diterima oleh masyarakat berkenaan harus dipatuhi dan diamalkan oleh individu yang berada dalam masyarakat tersebut. Tiada individu yang terkecuali daripada kepelbagaian kaum, budaya dan agama dalam sesebuah masyarakat yang majmuk seperti ini maka nilai-nilai etika yang umum merentasi
Nilai dan etika yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat selagi mereka tinggal dan hidup secara berkomuniti. Persoalan yang timbul ialah bagaimana dalam sesebuah masyarakat itu terdapat pelbagai kaum, budaya dan agama? Dalam konteks ini, walaupun terdapat kepelbagaian ini harus diterima oleh masyarakat majmuk sedemikian.
Misalnya nilai kebaikan, keadilan, kesaksamaan, kehidupan, kebahagiaan dan sebagainya yang terdapat dalam semua kaum, budaya dan agama menjadi panduan, diterima secara umum dan diamalkan dalam masyarakat yang majmuk dengan sikap saling hormat-menghormati nilai etika yang dipegang di samping meraikan kepelbagaian dalam masyarakat. Namun jika terdapat percanggahan antara nilai etika yang diamalkan dalam masyarakat majmuk ini maka dalam konteks sebuah negara yang dibina di atas keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, masyarakat majmuk dalam sesebuah negara perlu akur dan patuh kepada nilai etika yang diamalkan oleh sesebuah kerajaan atau dikenali sebagai etika peringkat negara atau etika nasional.
Etika negara atau nasional ialah nilai-nilai etika dan moral yang harus ada dan diamalkan oleh setiap rakyat dalam sesebuah negara dan pelanggaran terhadap nilai etika dan moral berkenaan akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang berkaitan dalam negara berkenaan. Bello (1995) menyatakan etika negara ini didefinisikan sebagai sistem moral, peraturan dan tingkahlaku di mana setiap komuniti dalam negara berkenaan adalah terikat dengannya dan sebarang pelanggaran terhadapnya akan berhadapan dengan hukuman undang-undang sedia ada di negara berkenaan. Etika negara kebiasaannya ada dalam perlembagaan sesebuah negara sebagai panduan kepada kelakuan dan tindakan rakyat dalam sesebuah negara misalnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan disiplin, integriti, maruah, keadilan sosial, toleransi agama dan patriotisme.
Keperluan dan kepentingan etika negara ini dapat dilihat di negara sedang membangun atau negara maju sebagai indikator atau petunjuk kepada kematangan rakyat negara berkenaan dalam menguruskan kehidupan seharian daripada peringkat rakyat bawahan mahupun pemimpin atasan. Pentadbiran dan pembangunan dalam sesebuah negara boleh berjalan lancar apabila terdapatnya nilai etika nasional ini kerana ianya boleh membawa rakyat kepada kehidupan bermasyarakat yang saling bertoleransi, berkelakuan secara beretika dan menuju kepada matlamat yang sama di peringkat negara; keadilan di kalangan rakyat kerana golongan kaya dan miskin boleh hidup dan berperanan membantu di antara satu sama lain; mengelak daripada ketegangan kaum dan agama kerana saling memahami dan menghormati kepelbagaian di antara mereka; menjadikan rakyat sebagai warganegara yang bangga dengan sistem hidup dan nilai yang dipegang dalam negara berkenaan; mampu menjadikan setiap individu sebagai warganegara yang baik dan contoh yang boleh diteladani di peringkat antarabangsa; memastikan sistem urus tadbir kerajaan yang cekap, berkesan dan berintegriti. Walau bagaimanapun etika nasional adalah berbeza-beza mengikut negara. Oleh yang demikian, terdapat satu lagi peringkat etika yang harus dilihat dan merentasi sesebuah negara yang dikenali sebagai etika sejagat.
Etika sejagat ialah etika yang diterima dan diamalkan di peringkat antarabangsa. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada tahun 2019, terdapat sebanyak 195 buah negara yang berdaulat di dunia ini. Ini bermakna terdapat sekurangkurangnya 195 jenis etika nasional mengikut negara berkenaan. Bagaimana di kalangan semua negara ini boleh berurusan di antara satu dengan yang lain jika terdapat begitu banyak jenis etika nasional? Di sinilah wujudnya satu lagi peringkat etika yang merentasi sempadan sesebuah negara yang dikenali sebagai etika sejagat. Etika sejagat ini mengandungi pelbagai standard etika yang dianggap berdiri dengan sendiri dan boleh diaplikasikan kepada semua manusia tanpa mengira kaum, budaya, agama, jantina, kumpulan umur, politik, kelas sosial atau ekonomi. Semua prinsip atau nilai etika yang tidak dianggap sebagai agresif, mencegah penggunaan kekerasan atau menghalang keganasan di antara manusia dianggap sebagai prinsip etika sejagat. Di antara contoh kekerasan atau keganasan ini ialah pembunuhan, rogol, penculikan, mencederakan, mencuri, merompak dan tingkahlaku musnah atau vandalisme. Sebaliknya, sebarang tindakan yang diambil sebagai tindakbalas ke atas kekerasan dan keganasan tersebut dianggap sebagai tindakan yang tidak melanggar etika sejagat. Ramai sarjana etika percaya punca yang mewujudkan masalah kepada kelakuan beretika seseorang individu ialah dua sifat semulajadi yang sentiasa ada dalam diri manusia iaitu sifat baik dan sifat jahat. Oleh kerana manusia selalunya ada sifat yang munasabah dan daya intelektual, pada masa tertentu terdorong untuk melakukan sesuatu perkara maka mereka mestilah dipandu oleh nilai etika dan peraturan yang boleh mengimbangi sifat baik dan jahat itu tadi. Manusia seharusnya memilih di antara tingkahlaku baik atau jahat berdasarkan kepada akibat daripada tindakan yang diambil berbanding dengan tindakan itu sendiri. Dalam proses membuat pilihan di antara tingkahlaku bermoral atau sebaliknya, seseorang individu harus mempertimbangkan apakah kebaikan atau keburukan sejagat yang terjadi kesan daripada sesuatu tindakan yang diambil. Contohnya, jika semua orang mencuri maka kesannya akan berlaku huru-hara dan banyak kejadian keganasan di dunia ini. Lantaran itu, nilai etika seseorang individu akan mempertimbangkan bahawa adalah tidak bermoral jika kita ingin mencuri atau menjadi seorang pencuri.
Berdasarkan kepada justifikasi nilai seperti ini maka peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan tindakan mencuri akan dicipta dan dikuatkuasakan, yang akhirnya berkembang menjadi satu nilai etika dan undang-undang yang diterima sejagat.
Penghayatan Etika Peradaban Mengikut Konteks Masyarakat, Negara Pasaran
Biografi negara kita akhirnya akan dilihat berdasarkan faktor masyarakat, negara dan pasaran.
Biografi masyarakat yang beretika dan mempunyai peradaban yang baik akan membentuk dan meletakkan negara dalam kedudukan yang baik serta dihormati. Umumnya masyarakat Malaysia dilihat sebagai masyarakat yang penyayang, ramah tamah. Bagaimana pula halnya dengan kebudayaan ilmu, penghargaan terhadap masa, tadbir urus yang cekap dan amanah? Bagus bagi sebuah negara adalah kerana keadaan masyarakatnya mempunyai peradaban tinggi yang mencorak pemerintahan dan kehidupan yang hebat sekarang dan untuk masa depan.
Biografi negara yang baik akan membolehkan hal perekonomian melibatkan pasaran berkembang pesat. Apabila memperkatakan tentang pasaran, ia merujuk kepada teori asas yang membentuknya iaitu permintaan dan penawaran. Orang ramai yang membentuk pasaran akan mempunyai permintaannya terhadap etika dan peradaban. Jika permintaan terhadap etika dan peradaban yang baik rendah maka pasaran akan tidak cenderung untuk mematuhi etika yang baik, dan akan tidak terhalang kepada etika yang tidak baik.
Prinsip kebaikan dan keburukan
Setiap manusia yang rasional suka kepada kebaikan dan benci kepada keburukan. Manusia juga digalakkan untuk membuat kebaikan dan meninggalkan segala perbuatan yang mendatangkan keburukan. Kebaikan itu bersifat subjektif. Kebaikan boleh bermaksud kehidupan, kebahagiaan, kesedaran, keseronokan, kebenaran dan pelbagai nilai baik yang lain. Keburukan juga bersifat subjektif. Keburukan boleh bermaksud kematian, penderitaan, kesilapan, kedukaan, kepalsuan dan pelbagai nilai buruk yang lain. Sebagai manusia yang menjalani kehidupan seharian, prinsip kebaikan dan keburukan ini sentiasa ada di sekitar mereka. Kadang kala mereka sendiri yang melakukan kebaikan dan keburukan ini dan dalam sesetengah keadaan yang lain, kebaikan dan keburukan itu dilakukan oleh pihak lain.
Kebaikan dan keburukan ini apabila berlaku, ianya boleh mendatangkan kesan kepada pelaku perbuatan tersebut dan juga kepada pihak lain sama ada secara langsung atau tidak langsung. Contohnya, pemimpin yang baik, adil, amanah, dan cekap akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang boleh diteladani dan kesan daripada kebaikan yang dilakukannya maka rakyat akan mendapat manfaat daripadanya misalnya negara yang aman dan makmur, ekonomi yang mapan dan berdaya saing, persekitaran sosial yang harmoni dan bersatu padu. Sebaliknya jika pemimpin yang korup, menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dan sering bermain retorik serta sentimen agama dan perkauman, maka rakyat akan hidup dalam kesusahan, ditindas, berperangsangka sesama sendiri, tidak bersatu padu dan menjadikan negaranya sebuah negara yang gagal.
Prinsip keadilan dan saksama
Keadilan itu bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Saksama pula adalah keseimbangan yang wujud natijah atau kesan daripada keadilan yang berlaku itu tadi. Dua prinsip etika ini bergerak seiring. Keadilan akan membawa kesaksamaan dan kesaksamaan berlaku selepas wujudnya keadilan. Walau bagaimana pun, untuk berlaku adil bukanlah satu tugas yang mudah terutama jika melibatkan banyak pihak atau sekumpulan manusia yang berbeza kehendak dan kepentingan mereka. Namun ini bukan alasan untuk tidak berlaku adil. Yang penting ialah pertimbangan yang wajar diberikan walaupun mungkin ada sebilangan kecil yang akan beranggapan mereka telah tidak diberikan keadilan yang sewajarnya.
Contoh yang klasik ialah seorang doktor dengan sepuluh pesakit. Doktor ini hanya mempunyai sembilan pain darah dalam stok simpanannya. Seorang pesakit memerlukan minimum satu pain darah. Ini bermakna hanya sembilan pesakit yang mempunyai peluang mendapat sekurang-kurangnya satu pain darah dan pesakit yang kesepuluh agak tidak bernasib baik kerana tiada bekalan darah untuknya. Doktor berkenaan tidak boleh mengurangkan setiap pain darah untuk diberikan kepada seorang pesakit demi untuk menyelamatkan pesakit yang ke-sepuluh kerana ini akan mengancam nyawa sembilan pesakit yang awal itu tadi. Secara umumnya, kelihatan pesakit yang ke-sepuluh itu tidak mendapat keadilan kerana tiada bekalan darah untuknya, tetapi sebenarnya doktor berkenaan telah membuat pertimbangan yang wajar dan profesional iaitu membuat keputusan berdasarkan kepada prosedur amalan etika perubatan yang membolehkannya memberikan setiap satu pain darah kepada setiap seorang pesakitnya dan hanya sembilan orang sahaja yang bernasib baik mendapat stok darah berkenaan.
Prinsip kejujuran
Kejujuran ialah salah satu prinsip etika yang utama. Menjadi seseorang yang jujur bermaksud memiliki kelakuan yang beretika, seorang yang tulen iaitu mempunyai niat, pertuturan dan perbuatan yang selari di antara satu dengan yang lain. Kejujuran menunjukkan nilai manusia dalam menghormati diri sendiri dan orang lain iaitu kualiti sebagai manusia yang berkelakuan secara sopan, percakapan dan perbuatan yang konsisten dan lahir daripada ketulusan berdasarkan kepada nilai-nilai keadilan dan kebenaran. Dalam konteks yang lain, kejujuran ialah sikap menghormati nilai-nilai kebaikan dan kebenaran tentang semua aspek kehidupan di dunia ini. Contohnya, seseorang yang memiliki sifat atau prinsip kejujuran ini kebiasaannya ialah seorang yang boleh dipercayai oleh pihak lain dan disandarkan tanggungjawab serta harapan ke atasnya. Berlainan pula dengan seseorang yang dikenali sebagai tidak jujur selalunya akan dipinggirkan oleh masyarakat dan pihak lain sentiasa bimbang dengan penipuan, kepalsuan dan sikap keji yang mungkin lahir atau dicetuskan oleh orang berkenaan. Kejujuran ini penting dalam melahirkan manusia yang berintegriti. Manusia yang jujur kebiasaannya ialah seorang manusia yang berintegriti. Individu yang memiliki sifat jujur ini akan sentiasa mengutamakan nilai-nilai dan prinsip etika dan tidak berkompromi untuk mengabaikannya. Individu yang jujur dan berintegriti ini adalah bertentangan dengan individu yang bersifat hipokrit. Manusia yang hiprokrit ialah seseorang yang percakapannya tidak sama dengan perbuatannya. Individu yang tidak jujur atau hipokrit ini mungkin sedang bercakap tentang ketelusan dan kepentingan sistem urus tadbir yang baik, tetapi dalam masa yang sama sedang melakukan penyelewengan, pecah amanah dan rasuah.
Prinsip kebebasan
Kebebasan juga merupakan salah satu prinsip utama etika. Kebiasaannya, kebebasan ini sering dikaitkan dengan etika hak asasi manusia. Ianya berkaitan dengan teras peraturan dan undang-undang tentang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh manusia. Manusia yang lahir dan hidup di atas muka bumi ini adalah dianggap sebagai seorang yang bebas, boleh menentukan gaya pemikiran, amalan kehidupan yang difikirkan sesuai dengan dirinya dan tidak terikat dengan gaya pemikiran dan cara hidup orang lain. Namun, kebebasan ini bukanlah suatu nilai yang bersifat mutlak. Ada garis panduan dan undang-undang yang berkaitan dengannya dan mesti dipatuhi. Contohnya kebebasan untuk bersuara, berpakaian dan memiliki kekayaan.
Manusia masih lagi terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ada di mana mereka tidak boleh terlalu bebas bersuara sehingga menyentuh sensitiviti kaum, budaya dan agama yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat majmuk. Manusia tidak boleh berpakaian yang menjolok mata atau yang bertentangan dengan etika pakaian atau budaya pakaian sesuatu kaum misalnya memakai tudung kepala tetapi sedang berseluar pendek dan berjalan di khalayak ramai. Mahu memiliki kekayaan tetapi tidak boleh dengan cara menipu dalam perniagaan, mengamalkan rasuah atau terlibat dalam aktiviti haram seperti menjual dadah, judi haram, rumah pelacuran, penyeludupan manusia, sindiket ‘scam’ di internet dan pelbagai kesalahan jenayah yang lain. Kebebasan sebegini dibatasi oleh peraturan dan undang-undang yang ada dan dikuatkuasakan di sesebuah negara.
Kesimpulan
Peradaban Barat yang mendominasi masyarakat dunia pada hari ini bersandarkan kepada Sains dan Teknologi bukan kepada etika keagamaan berbanding dengan peradaban Timur. Elemen yang memberi identiti kepada tamadun Barat ialah aspek pemikiran yang mementingkan kemajuan fizikal. Peradaban Timur melihat kedua-dua elemen fizikal dan keagamaan sebagai penguat dalam pembinaan peradaban mereka. Pertembungan antara peradaban Barat dan Timur yang menitik beratkan aspek tradisi dan kepercayaan agama dalam kalangan masyarakat Timur memberi impak yang mendalam terhadap pemikiran sehingga melahirkan kepelbagaian pemikiran seperti dalam masyarakat Melayu munculnya gerakan kaum Muda, Kaum Tua dan gerakan islah. Penjajahan British meninggalkan kesan seperti penyebaran agama Kristian terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina dan India serta sebahagian masyarakat Sabah dan Sarawak. Walaubagaimanapun, Etika barat juga dilihat positif dalam pembangunan dan pemodenan di Tanah Melayu.
Pembelajaran 3: Konsep dan Etika Peradaban
Topik Minggu Ini
- Konsep Etika dan Peradaban
- Menelusuri pergerakan idea dan amalan etika dan peradaban alam Melayu dan dunia.
- Sejarah pemikiran Eropah, daripada zaman sebelum, semasa dan selepas Enlightenment.
- Perspektif agama dan kepercayaan.
- Kolonialisme dan Pasca Kolonialisme.
- Kolonialisme agama dan kepercayaan.
- Timur dan Barat.
- Perspektif agama dan kepercayaan (peradaban)
Konsep Etika dan Peradaban
Definisi Etika : Prinsip moral atau nilai-nilai akhlak adat sopan santun yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan manusia.
Definisi Peradaban: Sistem dan tahap perkembangan sosial, kemajuan dan kebudayaan sesuatu bangsa.
Teori yang menyediakan prinsip-prinsip moral atau garis panduan yang mengandungi nilai-nilai tertentu.
Tujuan asas teori etika adalah bagi membantu manusia pada zaman itu untuk melihat perbezaan pandangan dalam membuat penilaian tindakan manusia daripada pelbagai asas teori.
Teori-teori klasik awal telah diperkembangkan oleh ahli-ahli falsafah klasik pada zaman peradaban kuno Greek dan Yunani.
Pemikiran etika yang telah mula berkembang seawal zaman Greek dan Yunani apabila ahli falsafah dan pemikir seperti Socrates, Plato, Aristotle dan Protagoras mula memikirkan cara mendisiplinkan masyarakat.
Menelusuri pergerakan idea dan amalan etika dan peradaban alam Melayu dan dunia
Setiap peradaban mempunyai susur jalur sejarahnya yang tersendiri. Perkembangan sejarah alam melayu bermula dengan zaman pra sejarah (paleolitik, mesolitik dan neolitik) diikuti dengan zaman logam, zaman protosejarah, zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan Portugis, Belanda dan British) dan akhirnya zaman menuju kemerdekaan. Zaman logam adalah fasa bermulanya tamadun Melayu.
1. Zaman Prasejarah
Zaman Paleolitik & Mesolitik: Nomad, berburu, peralatan batu.
Zaman Neolitik: Penempatan kekal, bercucuk tanam, peralatan batu yang dilicinkan yang memiliki pelbagai fungsi.
Zaman logam: Menetap, perniagaan, sistem barter, peralatan logam dan besi.
2. Zaman Protosejarah
Bermula sejak awal abad pertama. Bermula dengan penempatan kecil kemudian muncul kerajaan awal yang memiliki pelabuhan yang menunjukkan wujud aktiviti perdagangan. Daripada pelabuhan berkembangnya menjadi kerajaan.
Funan: Kerajaan ini diasaskan seorang Brahmin yang berpusat di Vyadphura. Fan Shih-man ialah kerajaan yang popular yang meluaskan empayarnya dari Sungai Mekong hingga ke Teluk Cam Ranh di sebelah Timur, selatan Myanmar dan Segenting Kra. Merupakan sebuah kerajaan maritim yang menjadi pusat perdagangan bermula abad pertama hingga abad ketiga.
Champa: Diasaskan oleh Chu-Luien tahun 192 masihi, berpusat di Indrapura. Beliau berjaya membebaskan Champa dari serangan kerajaan Dai Viet yang dipengaruhi China. Masyhur dibawah pemerintah Che Bong Nga. Merosot pada zaman Indravarman tahun 1441 setelah ditawan Dai Viet.
Srivijaya: Diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa tahun 683 masihi di Palembang. Jajahan takluknya sehingga ke Bangka dan Trauma. Kemudian diperluaskan lagi sehingga ke Sumatera, Selatan Myanmar, Tanah Melayu dan Segenting Kra pada zaman Sangramadhananjaya. Penaklukan ini menjadikan Srivijaya berjaya menguasai jalan laut antarabangsa iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda sehingga menjadi kuasa perdagangan utama di Tanah Melayu selain menjadi pusat pengajian agama Buddha.
Angkor: Diasaskan oleh Jayavarman II yang berpusat di Harihalaya di Lembah Sungai Mekong. Raja Suryavarman II berjaya meluaskan empayar Angkor dari lembah Sungai Mekong sehingga selatan Myanmar. Beliau berjaya melawan serangan Champa dan Dai viet dan mewujudkan perdagangan antararabangsa. Raja Jayavarman VII kemudian berjaya meluaskan empayar Angkor hingga ke sempadan Annam, membina 102 hospital dan Angkor Tom. Kerajaan ini m elemah sejak kemangkatan Raja Jayavarnam VII selepas Siam menyerang.
Majapahit: Diasaskan oleh Raden Viaya dengan bantuan tentera Monggol dalam perebutan kuasa di Jawa tahun 1294. Kota Trowulan sebagai pusat kerajaan Majapahit. Era yang paling berjaya adalah ketika Patih Gajah Mada menjadi perdana menteri kerana keamanan dan keselamatan yang diwujudkan. Patih Gajah Mada juga berjaya meluaskan jajahan taklukan ke Timur Pulau Jawa, pesisir pantai timur, Sumatera, pesisir selatan, Barat Pulau Borneo, bahagian selatan dan timur Sulawesi dan Kepualauan Maluku, sehingga muncul sebagai pusat perdagangan pada abad ke 14. Kerajaan ini m elemah setelah kemangkatan Patih Gajah Mada dan serangan kerajaan Demak tahun 1578.
Kedah Tua: Bermula aktiviti perdagangan antarabangsa yang aktif dijalankan penduduk Guar Kepah di Sungai Mas sehingga munculnya kerajaan Tua. Sungai Mas dan Pengkalan Bujang menjadi pusat kerajaan awal berdasarkan catatan golongan agama dan pedagang dari C hina, India dan Arab-Parsi. China menggelarnya sebagai Chieh Ch’a, Kataha dan Kalah-bar oleh India dan Arab. Kedah Tua semakin melonjak selepas aktiviti perdagangan bermula di Lembah Bujang. Pada abad ke-7 masihi muncul pemerintahan yang berasaskan Islam iaitu K esultanan Kedah.
Gangga Nagara: Muncul pada abad ke 6 masihi. Sejak abad 5 masihi lagi Gangga Nagara dikunjungi pedagang luar kerana kekayaan bumi seperti emas dan bijih timah. Berjaya mempertahankan kedaulatan daripada serangan Srivijaya. Kerajaan ini mula lemah selepas tentera Chola dari India menyerang pelabuhan Gangga Negara pada tahun 1025.
3. Peradaban Tamadun Melayu
Peradaban Melayu merupakan sebuah tamadun yang dibentuk di wilayah Asia Tenggara yang diberi nama Gugusan Kepulauan Melayu. Terdiri daripada satu rumpun b ahasa dan bangsa iaitu bangsa Melayu. Terdapat pelbagai suku kaum yang tergolong dalam bangsa Melayu seperti Jawa, Sunda, Madura, Aceh, Minangkabau, Bajau, Murut, Bugis, Sasak, Melanau, Iban, S ulu, dan sebagainya.
Sumber etika dan peradaban di dalam Tamadun Melayu boleh dibahagikan kepada dua pandangan alam iaitu semasa zaman pra Islam dan zaman Islam.
Pengaruh India, Hindu dan Buddha
Asmilasi peradaban India banyak mempengaruhi aspek kehidupan orang Melayu seperti bahasa, makanan, adat perkahwinan, seni tari, agama, kesusasteraan, adat istiadat diraja, pakaian, politik, dan lain-lain. Selepas kedatangan Islam, ada adat yang dikekalkan dan ada yang dimansuhkan kerana bertentangan dengan Islam.
4. Pengaruh Agama Hindu dan Buddha dalam Aspek Keagamaan, Politik dan Kesusasteraan Orang Melayu.
- Upacara penyembahan keagamaan: menjadi lebih tersusun dan berbentuk rasmi berbanding sebelumnya Ajaran ini mengalami proses sinkristisme- dikatakan kesannya hanya berlaku pada masyarakat bangsawan dan pemerintah.
- Aspek politik dan pentadbiran – perkara-perkara yang membesarkan dewa-dewa dikaitkan dengan status raja sebagai penjelmaan dewa-dewa ( konsep dewaraja).
- Aspek kesusasteraan – ajarannya ( kitab Mahabarata, Bhagavad Sita dan Baratyudha ) lebih kepada kesenian, keindahan, ketakjuban, epik, mitos sastera keperwiraan berbanding aspek rasional dan intelektual (bersendikan akal dan pengetahuan akliah), diperkenalkan apabila orang Melayu menerima Islam.
5. Pengaruh Islam dari Timur Tengah
Kedatangan Islam dari Timur banyak merubah pemikiran, politik, sosial, dan ekonomi masyarakat Melayu. Perubahan yang dibawa oleh Islam mencakupi unsur-unsur rasional, intelektual, dan logik akal. Ajaran Islam dibawa oleh pedagang Timur Tengah yang bukan sahaja berdagang tetapi menyebarkan agama Islam di Tanah Melayu.
6. Pengaruh Islam dalam Membentuk Pandangan SemestaTamadun Melayu Islam
Alam ini ada pencipta, pentadbir & pemelihara iaitu Yang Maha Esa. Manusia akan dipertanggungjawabkan atas segala tindakannya dalam kehidupan di dunia. Kepercayaan Islam adalah yakin & percaya segala amalan baik yang mematuhi hukum alam dan hukum syariat akan mendapat balasan baik & begitulah sebaliknya. Islam sangat menekankan kehormatan maruah dan martabat bangsa, keadilan, kesaksamaan tanpa kompromi dan keseimbangan roh serta jasmani.
Penyembahan berhala ditukar kepada kepercayaan Tauhid yang mengEsakan Tuhan. Undang-undang Islam diaplikasikan seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang bersendikan kitab suci al-Quran dan Sunnah. Munculnya institusi keagamaan seperti surau, masjid, madrasah dan sekolah pondok.
Huraian aspek sosial peradaban Melayu selepas kedatangan Islam.
Berpegang teguh kepada adat resam
Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam kehidupan seharian. Mereka jaga adat resam, pantang larang dan adat istiadat yang diwarisi turun temurun.
Memuliakan yang tua
Memberi keutamaan kepada yang tua atau berusia. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang yang lebih berusia mempunyai banyak pengalaman - pengalaman adalah sesuatu yang dipandang penting dalam masyarakat Melayu.
Mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim
Orang Melayu amat mementingkan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahimdapat dilihat melalui susur galur gelaran dalam keluarga, demikian juga kepentingan kenduri kendara dan amalan ziarah menziarahi.
Saling menghormati
Tamadun Melayu tidak memandang rendah kepada orang lain, saling menghormati, dan sering bersikap rendah diri. Penghormatan turut diberikan kepada orang lain yang menghormati orang Melayu. Orang yang tidak membalas penghormatan yang diberikan akan dipandang rendah.
Meraikan tetamu
Juga merupakan satu nilai yang penting dalam masyarakat Melayu. Menurut ajaran Islam tetamu membawa rezeki kepada tuan rumah. Tetamu biasanya akan diraikan sebaik-baiknya.
Bertimbang rasa
Orang Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan. Sikap ini menjadikan orang Melayu tidak mementingkan perasaan dirinya semata-mata.
Bersopan santun, berbudi bahasa
Sikap ini adalah sebahagian daripada nilai tamadun Melayu yang dikaitkan dengan adab. Masyarakat Melayu menganggap bahawa orang yang beradab sebagai halus budi pekerti manakala orang yang tidak bersopan santun dan tidak berbudi bahasa sebagai biadap dan kasar.
Bermesyuarah / bermuafakat
Ini adalah cara bagaimana orang Melayu cuba mencapai persetujuan ramai. Golongan ramai diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka dan persetujuan dicapai dengan mengambil kira semua pendapat.
Bergotong-royong
Pekerjaan ini juga salah satu nilai tamadun Melayu. Nilai kebudayaan Melayu yang berteraskan kepentingan kehidupan secara kumpulan, contohnya dilaksanakan dalam aktiviti kenduri kendara, membersihkan rumah ibadah dan tanah perkuburan.
Pengaruh Tamadun Cina
Hubungan China dan Tanah Melayu terjalin sejak sebelum zaman penjajahan lagi. Kerajaan Melayu Melaka telah menjalin hubungan diplomatik dan ekonomi dengan kerajaan China. Penghijrahan beramai-ramai orang China pada abad ke- 19 dan ke-20 mengembangkan lagi kebudayaan Cina di rantau ini. Sumbangan Tamadun China dalam bidang Sains dan Teknologi ialah penghasilan sutera dan tembikar; pembuatan kertas dan percetakan; kaedah akupuntur, penemuan belerang sebagai bahan letupan; dan penciptaan kompas sebagai alat pelayaran.
Pengaruh India
Kesan pengaruh India dapat dilihat dalam pelbagai aspek mencakupi aspek politik, sosioekonomi, adat istiadat dan corak pelbagai budaya masyarakat. Nilai kehidupan masyarakat kaum India sangat menekankan nilai hidup berkeluarga dan komuniti. Dalam masyarakat Melayu, asimilasi bahasa dan budaya Tamil dapat dilihat di dalam bahasa dan budaya Melayu.
Pengaruh Timur Tengah
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah merubah pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu yang sebelum ini berpegang kepada kepercayaan agama Hindu-Buddha. Unsur-unsur rasional, keintelektualan, dan logik telah mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu yang sebelum ini mempercayai elemen mitos dan tahyul.
Pengaruh Portugis
Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis yang berjaya menduduki Melaka selama 130 tahun. Melaka diperintah oleh Alfonso de Albuquerque secara pemerintahan militer/ketenteraan. Kesan pengaruh Portugis meninggalkan kebudayaan Serani, pengenalan tulisan Rumi, asimilasi perkataan Bahasa Melayu dan pengenalan peralatan seperti jendela, almari, tuala, garpu, dan pakaian iaitu kemeja, dan banyak lagi.
Pengaruh Belanda
Pada 14 Januari 1641, Belanda merampas Melaka daripada Portugis. Sistem pemerintahan bercorak ketenteraan dan sistem kapitan peninggalan Portugis dikekalkan. Belanda datang ke Melaka bertujuan untuk memonopoli perdagangan rempah ratus, buah pala dan kayu cengkih. Kepesatan perdagangan Belanda di Melaka menyebabkan Belanda menubuhkan Syarikat Bersatu Hindia Timur milik Belanda.
Pengaruh British
Kekayaan sumber asli Tanah Melayu sekali lagi mendorong kuasa lain menjajah Melaka iaitu kuasa British. Namun penjajahan British bukanlah ingin mengaut kekayaan seperti bijih timah semata-mata tetapi pada masa yang sama British telah mencampuri urusan pentadbiran Raja-raja Melayu, sistem pendidikan, ekonomi, sosial dan politik orang-orang Melayu. Dorongan British juga adalah kerana Britain pada waktu itu mengalami revolusi industri yang memerlukan bijih timah untuk mengetin makanan. Dasar liberal British menguatkan lagi pengaruh bukan sahaja didalam aspek perdagangan malah didalam aspek pentadbiran dan perluasan jajahan kuasa. Campur tangan didasari dengan semangat Brirish untuk memonopoli sumber asli Tanah Melayu dengan mudah.
Zaman Menuju Kemerdekaan (Sejarah Moden)
Zaman sejarah moden boleh dibahagikan kepada zaman merdeka dan zaman pembinaan negara-negara bangsa.
a) Sejarah Pemikiran Eropah, daripada zaman sebelum, semasa dan selepas Enlightenment
Perkembangan peradaban di Eropah boleh dikategorikan kepada;
-
Zaman Sebelum Pencerahan
-
Zaman Semasa Pencerahan (Englightenment): Reformasi gereja, pemimpin agama dan gereja berkurangan, berlaku pemisahan agama daripada politik
-
Zaman Selepas Pencerahan: Revolusi Perancis (French Revolution), sistem beraja diganti dengan republik, liberty, equality, fraternity, dan nation - Revolusi Industri yang mendukung doktrin individualisme, hak asasi, demokrasi, scientific inquiry dan pembangunan rasional, legal dan institutional. Berkembangnya komunikasi dan pengangkutan, perdagangan sedunia bermula mercantile ke kapitalis sedunia dan globalisasi sehingga dunia bertukar menjadi Dunia Digital & IR 5.0 (Industrial Revolution 5.0) sehingga kini.
Teori Etika Zaman Pencerahan
Zaman pencerahan yang juga dikenali sebagai fasa The Age of Reason muncul kesan daripada penyebaran idea-idea Rasionalisme. Pada awal penyebaran ideologi ini berlaku penentangan diantara golongan gereja dengan golongan rasionalists. Ini kerana ideologi old regime sudah sebati meresapi pemikiran rakyat Eropah pada waktu yang sukar menerima idea pemisahan agama daripada pentadbiran.
Bermula abad ke-17 dan ke-18, gaya pemikiran masyarakat berubah sepenuhnya ekoran munculnya beberapa tokoh pemikir seperti Montesque, Voltaire, John Locke dan Jean Rousseau. Montesquieu misalnya telah memperkenalkan doktrin pengasingan kuasa kepada tiga bentuk iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman. Zaman pencerahan membawa kepada perkembangan elemen kebudayaan, kebijaksanaan dan keteguhan terhadap kepercayaan. Masyarakat Eropah pada zaman itu mula sedar manusia mampu mengubah dunia berlandaskan pemikiran yang rasional.
Revolusi Peranchis
Revolusi ini berlaku pada tahun 1789 yang menjadi titik permulaan kepada pemisahan fasa kehidupan Eropah lama kepada Eropah baru. Kesedaran nasionalisme dikalangan rakyat juga memuncak pada fasa ini. Tranformasi terbesar adalah transformasi Peranchis. Transformasi ini membawa elemen-elemen tuntutan persamaan kebebasan dan persaudaraan terhadap misi liberalisme dan demokrasi.
Revolusi Industri
Revolusi boleh didefinisikan sebagai perubahan sebuah kerajaan, sistem politik atau sosial yang dilakukan secara radikal atau kekerasan. Industri pula bermaksud perusahaan untuk membuat atau menghasilkan barangan. Lebih tepat lagi Revolusi Industri membawa maksud proses transformasi sistem ekonomi yang mudah kepada ekonomi yang kompleks dan tradisi kepada produktiviti. Kesan revolusi ini ialah pertambahan penduduk secara mendadak, perluasan perdagangan antarabangsa, perubahan bentuk gaya hidup masyarakat, perubahan corak pemikiran politik dan perkembangan idea-idea dalam sistem ekonomi baru. Pengeluaran barangan dilaksanakan secara dalam kapasiti besar-besaran sehingga pengeluaran barangan melebihi paras keperluan pengusaha. Pengunaan mesin secara meluas menghasilkan keluaran yang dapat dikomersilkan.
Perspektif Agama dan Kepercayaan
Konsep Etika Melalui Agama dan Kepercayaan
- Buddha
- Hindu
- Islam
Buddha
Kewujudan agama Buddha di Tanah Melayu dibuktikan melalui penemuan candi Buddha di Lembah Bujang, Kedah. Penyebaran agama ini adalah melalui aktiviti perdagangan masyarakat setempat dengan pedagang-pedagang daripada India. Sebelum tersebarnya agama Buddha, masyarakat setempat menganut agama animisme.
Etika dalam ajaran Budhha terbahagi kepada dua bahagian:
- Peraturan Moral Asas
- Kod Etika Individu Umum
Agama ini memberi penekanan terhadap konsep Dharma yang menjelaskan Empat Kebenaran Mulia dan Jalan Lapan Mulia bagi mengatasi Samsara (kesengsaraan) dan kitaran kelahiran semula.
Hindu
Agama ini berasal daripada India yang diberi nama bersempena dengan nama sungai iaitu sungai Sindhu. Semasa era penjajahan, masyarakat India berhijrah beramai-ramai ke Tanah Melayu dengan membawa bersama-sama agama, budaya dan adat resam mereka ke Tanah Melayu.
Agama Hindu merangkumi idea-idea agama, falsafah dan budaya, selain mengandungi amalan bersifat kepercayaan kepada kelahiran semula, Tuhan yang mutlak, peraturan sebab dan akibat. Agama ini mengagungkan keadilan dan keinginan untuk melepaskan diri dari kelahiran dan kematian.
Dikenali sebagai Sanatana Dharma, Vaidika Dharma (agama menurut Veda) dan Brahmanisme (kepercayaan kepada kewujudan roh dunia bergelar Brahman yang kenali sebagai Trimurti.
Islam
Islam tersebar di Tanah Melayu bermula abad 8 masihi lagi dan menerima sepenuhnya selewat-lewatnya pada abad ke-12 Masihi melalui peranan pemerintah, muballigh, perkahwinan dan perdagangan. Penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang bertarikh 702 Hijrah membuktikan Islam telah tersebar di Tanah Melayu pada waktu itu.
Sumber etika dalam Islam adalah dari Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW.
Etika dalam erti kata menurut Islam adalah peraturan keseluruhan ajaran Islam yang merangkumi Aqidah, Fekah dan Akhlak. Terdapat tiga etika didalam Islam iaitu Etika dalam Akidah, etika dalam Fekah dan Etika dalam akhlak. Etika dalam Akidah bermaksud beriman kepada Allah iaitu menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu. Etika dalam Fekah seperti tidak mencuri, tidak berjual beli dengan cara riba, tidak berzina dan tidak meminum arak. Etika dalam Akhlak pula adalah seperti berkata benar, jujur dalam menunaikan amanah, tidak mengumpat, tidak menghina.
Kolonialisme dan Pasca Kolonialisme
Penjajahan kolonial British terutamanya di negeri-negeri Selat seperti Melaka, Pulau Pinang, Singapura dan Perak telah membawa kepada dasar pemisahan agama dari politik oleh British (Idea sekularisme). Kerajaan pusat dibentuk dan memiliki kuasa mentadbir dan menghukum, demokrasi dan undi manakala Sultan hanya mengurus budaya dan agama Islam. Islam hilang peradaban dari menjadi agama pensyariatan.
Pada tahun 1957-1969, ilmu kolonial telah diterapkan didalam pentadbiran negeri, urus budaya dan agama. Kemudian pada tahun 1970, kerajaan mula mengarus perdanakan Islam dalam projek modenisasi negara. Walaubagaimanapun, masih wujud lagi ilmu kolonial dalam pentadbiran negeri dan urus budaya.
Antara impak kolonialisme dan pascakolonialisme terhadap tanah Tanah Melayu ialah:
-
Pengenalan tulisan rumi menukarkan daripada tulisan Jawi.
-
Kewujudan perkahwinan campur diantara masyarakat tempatan dan penjajah. Misalnya lahir kaum Serani di Melaka.
-
Pembentukan parti politik berteraskan kaum seperti UMNO, MCA, dan MIC.
-
Wujudnya perkataan baharu yang diambil daripada bahasa Portugis seperti garfu, sudu, kemeja dan lain-lain.
-
Pembentukan masyarakat majmuk hasil daripada kemasukan buruh-buruh yang dibawa daripada China dan India.
Daripada perspektif peradaban, impak kolonialisme dan pasca kolonalisme adalah:
-
Pengenalan sistem sekolah vernakular.
-
Gaya dan cara pemikiran orang Melayu menjadi semakin terbuka. Mereka mula menolak kepercayaan yang tidak memiliki asas rasional yang kukuh.
-
Sistem demografi Tanah Melayu berubah ke arah yang lebih baik daripada kawasan kampung menjadi kawasan bandar ekoran daripada perkembangan pesat perlombongan bijih timah.
-
Pengenalan dasar ekonomi baharu yang telah meransang dan merancakkan ekonomi negara.
-
Kemajuan aspek pengangkutan dan pembinaan kereta api banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat seperti pembukaan tanah dan kegiatan industri biji timah menjadi semakin rancak.
Kesimpulan
Teori etika merupakan satu disiplin yang menentukan baik atau tidak baik, dibolehkan atau tidak dibolehkan, benar atau salah perbuatan manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral,prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul. Ahli falsafah etika mengandaikan bahawa manusia perlulah bebas dan rasional didalam membuat pilihan. Tujuan teori etika diperkenalkan adalah untuk meningkatkan kesejahteraan, maruah, keamanan dan kegembiraan manusia. Setiap manusia terikat dengan peraturan moral bagi menjamin keselamatan dan keamanan sejagat.
Perbuatan yang melanggar undang-undang walaupun dibenarkan mengikut etika tertentu boleh menganggu orang lain selain bertentangan dengan nilai-nilai yang dipersetujui masyarakat sekeliling. Manusia yang beretika bukanlah hanya mengikuti kehendak rasional dan citarasa mereka semata-mata tetapi perlulah mematuhi etika daripada budaya mahupun agama serta peraturan dalam negara yang didiaminya. Etika keagamaan sangat releven untuk diamalkan oleh setiap penganut agama mengikut agama masing-masing di negara ini. Fahaman etika agama sedikit sebanyak membantu bagi menangkis fahaman etika yang liberal yang bebas daripada kepercayaan agama.
Penerapan falsafah etika Barat moden pada zaman kolonial telah membawa kerencaman aliran pemikiran dan ideologi masyarakat di Tanah Melayu. Kerencaman ini mempengaruhi urus tadbir politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu sehingga kepada pembentukan Malaysia. Jadi, nilai etika daripada kepelbagaian peradaban dan agama sangat diperlukan bagi membentuk jati diri masyarakat Malaysia yang beretika dan berakhlak mulia serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi terhadap negara.
Peradaban Barat yang mendominasi masyarakat dunia pada hari ini bersandarkan kepada Sains dan Teknologi bukan kepada etika keagamaan berbanding dengan peradaban Timur. Elemen yang memberi identiti kepada tamadun Barat ialah aspek pemikiran yang mementingkan kemajuan fizikal. Peradaban Timur melihat kedua-dua elemen fizikal dan keagamaan sebagai penguat dalam pembinaan peradaban mereka. Pertembungan antara peradaban Barat dan Timur yang menitik beratkan aspek tradisi dan kepercayaan agama dalam kalangan masyarakat Timur memberi impak yang mendalam terhadap pemikiran sehingga melahirkan kepelbagaian pemikiran seperti dalam masyarakat Melayu munculnya gerakan kaum Muda, Kaum Tua dan gerakan islah. Penjajahan British meninggalkan kesan seperti penyebaran agama Kristian terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina dan India serta sebahagian masyarakat Sabah dan Sarawak. Walaubagaimanapun, Etika barat juga dilihat positif dalam pembangunan dan pemodenan di Tanah Melayu.